Sabtu, 28 Mei 2011

TV AlHijrah guna Astro lebar siaran ke seluruh negara

Oleh Latifah Kasmuri


KUALA LUMPUR — TV AlHijrah (TVAH) melebarkan siarannya ke seluruh negara menerusi saluran Astro 114 mulai awal bulan depan.

Kini, TVAH yang beroperasi sejak Disember lalu, terhad siarannya dan hanya meliputi Terengganu, Pahang, Lembah Klang, utara Johor, Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu diambil bagi memperluaskan siaran TVAH memandangkan siarannya mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini.

“Kerjasama dengan Astro ini sebagai usaha meluaskan siarannya kerana sudah ramai bertanya mengapa siaran hanya didapati di negeri-negeri tertentu,” kata beliau pada sidang media pelancaran TVAH di Astro 114 hari ini.

Kata beliau, apabila siaran TVAH disiarkan menerusi Astro 114, ini akan memberi peluang kepada orang lain untuk menontonnya.

“Tetapi hanya kepada mereka yang melanggan Astro. Walaupun, siaran TVAH adalah percuma tetapi ini tidak bermakna memperoleh siaran TVAH menerusi Astro juga percuma.

“Mereka (yang melanggani Astro) tetap perlu bayar untuk caj perkhidmatan,” kata beliau lagi.

Dengan keluasan liputan siaran dan pertambahan penonton berpotensi, Jamil berkata, TVAH akan menambah waktu siaran daripada 72 jam sekarang kepada 100 jam seminggu.

“TVAH akan memulakan siaran lebih awal berbanding sekarang. Siaran TVAH sebelum ini disiarkan dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam,” katanya.

Siaran akan dilanjutkan dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengah malam pada hujung minggu manakala Isnin hingga Khamis, siaran bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.