Jumaat, 27 Mei 2011

Salahguna sekolah: Pemuda PAS Pahang lapor SPRM

Khairil Abdul Rahim


TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS (DPP) Pahang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam terhadap Pergerakan Pemuda Umno Kuala Krau atas dakwaan menyalahgunakan sekolah untuk tujuan politik.

Ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim dalam laporannya mendesak SPRM menggunakan kuasa menyiasat aktiviti Pemuda Umno Bahagian Kuala Krau yang telah mengadakan mesyuarat perwakilannya di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, 21 Mei lalu.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Ketua Biro Antarabangsa Pemuda Umno, Datuk Ahmad Zaki Zahid.

“Kami DPP Negeri Pahang melahirkan rasa dukacita terhadap pencabulan premis awam saperti premis sekolah ini yang sepatutnya bebas dari sebarang campur aduk politik apatah lagi ianya salah dari segi undang-undang, malahan boleh mendatangkan kemusnahan kepada institusi pendidikan negara yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik kepartian.

“Perlu diingat bahawa pembinaan sekolan awam ini dibuat dari sumber kerajaan dan cukai rakyat secara keseluruhannya. Oleh itu adalah salah dari segi undang-undang dan moral jika pentadbiran dan pengurusan dana awam ini diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Shahril turut mendedahkan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Krau juga akan diadakan di tempat yang sama pada 29 Mei ini.

Tambahnya, amalan ini bertentangan dengan undang-undang dan peraturan yang boleh diambil di bawah Akta SPRM atau mana-mana undang-undang yang berkaitan dengannya.

“Oleh yang demikian itu, kami mengesa SPRM menggunakan sepenuhnya kuasa untuk menyiasat dan mendakwa jika terbukti benar berlakunya penyelewengan terutama kepada guru besar atau pengetua sekolah terbabit yang telah membenar sekolahnya dijadikan tempat mesyuarat perwakilan tersebut.

“Kami juga mendesak SPRM menyiasat transaksi kewangan guru besar mahu pun sekolah terbabit serta segala urusan kewangan bersabit penggunaan premis awam tersebut kerana jika ianya berlaku sewaan atau membabitkan urusan kewangan yang lain maka ianya telah melakukan kesalahan dan melanggari batas-batas perundangan negara.

“Kami berharap SPRM menggunakan sepenuhnya peruntukan undang-udang di bawah Seksyen 7 dan seksyen 29 (3) Akta 694, Pencegahan Rasuah Malaysia atau menggunakan mana-mana peruntukan undang-undang yang ada bagi maksud tersebut,” katanya.

Shahril berharap SPRM dapat melakukan penyiasatan dengan penuh kesungguhan, ketelusan dan keberanian dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.