Khalid Ibrahim |
Assalamualaikum dan Selamat sejahtera. 1 Mei datang lagi. Tahun 2011 ini Hari Pekerja di Malaysia disambut pada Ahad, bersamaan 27 Jamadilawal 1432 Hijrah. Ia merupakan kali ke-32 cuti umum sempena Hari Pekerja disambut oleh golongan pekerja di Malaysia setelah Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengumumkan tanggal 1 Mei sebagai hari kelepasan am bagi pekerja di Malaysia. Namun begitu, Hari Pekerja tidak disambut serentak di kebanyakan negara di dunia yang mengiktiraf Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization/ILO). Di samping Malaysia, Argentina, Austria, Belgium, Jerman, Norway Itali, Korea Selatan Perancis, Singapura, Sepanyol, Sweden, Thailand, dan Vietnam juga menyambutnya pada 1 Mei. Kanada dan Amerika Syarikat menyambutnya pada 2 September; New Zealand (28 Oktober) dan Britain (6 Mei). Jepun, yang mengenalinya sebagai Hari Terima Kasih Pekerja, menyambutnya pada 23 November. Bagi pekerja di negeri Selangor khususnya, pada tahun ini kita mahu memantapkan perhubungan antara majikan dan pekerja. Selangor, sebagai negeri yang paling maju daripada segi pertumbuhan ekonomi Malaysia, sedar akan betapa pentingnya mengekalkan sumber tenaga kerja yang berdaya saing tinggi dan suasana pasaran yang dinamik. Dua-dua aspek ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama antara majikan, pekerja dan kerajaan. Sementelahan pula Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Selangor bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan penduduk negeri, terutamanya pekerja dan usahawan kecil. Maka, bersempena dengan Hari Pekerja Se-Dunia pada 1 Mei 2011 ini, saya dengan sukacitanya, mengumumkan penubuhan Institut Produktiviti & Perhubungan Perusahaan Selangor atau singkatannya “InPPP.” Institut ini merupakan sebuah pertubuhan yang bersifat sukarela dan bebas. Keanggotaannya terdiri daripada majikan (pihak swasta), wakil kesatuan sekerja dan ahli akademik. Antara misi InPPP adalah, sebagai wadah bagi mengeratkan perhubungan antara pekerja, majikan dan kerajaan untuk membolehkan dasar dan usaha bersama yang lebih selaras; untuk membantu usahawan dan golongan pekerja dengan memperkenalkan cara pengurusan, latihan dan teknologi terkini yang lebih berkesan untuk mempertingkat produktiviti; dan untuk menaikkan mutu hidup pekerja dan penduduk Selangor pada amnya. Buat sementara waktu, satu Jawatankuasa Protem ditugaskan untuk melaksanakan kerja penyediaan dalam tempoh enam bulan. Selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, saya yakin Institut Produktiviti & Perhubungan Perusahaan Selangor ini dapat memperjuangkan hak para pekerja dalam hal menikmati limpahan kekayaan ekonomi yang sejak puluhan tahun hanya dinikmati oleh segelintir dan meminggirkan majoriti rakyat terutama golongan pekerja. Semoga Allah sentiasa memberi pertolongan dan perlindungan kepada kita semua. “Selamat Menyambut Hari Pekerja”. Terima kasih TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.