GENTING HIGHLANDS— Pemimpin-pemimpin MCA perlu memperbaiki dan melengkapkan diri jika komponen Barisan Nasional (BN) itu mahu menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-13, kata Datuk Seri Adnan Yaakob di sini malam tadi.
Menteri Besar Pahang (gambar) itu berkata, satu-satunya cara bagi MCA memenuhi matlamat itu adalah pemimpin-pemimpinnya yakin pada kekuatan mereka.
“Kita harus tahu kekuatan kita sebelum (boleh) menghadapi pilihan raya umum... kita perlu tahu kekuatan kita.
“MCA perlukan keyakinan. Jika anda teragak-agak, sah kita akan kalah,” kata Adnan pada sesi pemukiman MCA di sini semalam.
Beliau yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, apabila MCA diperkuatkan, maka ia boleh bekerja dengan Umno sebagai perikatan yang mantap.
“Kaum Cina mesti diyakinkan bahawa MCA boleh berjuang untuk masyarakat Cina. Kita tidak boleh kata kita ini (menggambarkan) kepelbagaian kaum jika tiada perwakilan Cina dalam BN,” kata beliau.
Pada pilihan raya umum 2008, MCA berhadapan dengan prestasi buruk selepas kehilangan lebih separuh daripada kerusi yang ditandinginya.
Ia hanya menang 15 daripada 31 kerusi Parlimen yang diperuntukkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disebut-sebut akan memanggil pilihan raya umum ke-13 bila-bila masa dari sekarang.
Desas-desus mengenai tarikh pilihan raya itu berterusan ketika BN masih bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi kalangan Cina yang beralih kepada pembangkang tiga tahun lalu.
Dalam aspek ini, MCA dan Gerakan dilihat berhadapan dengan saingan DAP, komponen Pakatan Rakyat, bukan sahaja di Pahang tetapi di kebanyakan negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.