Isnin, 30 Mei 2011

Mahkamah Tetapkan 30 Jun Untuk Urusan Kes Bergantung Pada Rayuan

TVS NEWS

KUALA LUMPUR : Kerajaan Negeri Kelantan akan memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu terhadap keengganan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk menghalang kerajaan persekutuan dari mencampuri dalam saman melanggar kontrak terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung royalti minyak.

Peguam Rishwant Singh yang mewakili Petronas memberitahu media bahawa kerajaan negeri Kelantan akan memfailkan permohonan itu di Mahkamah Persekutuan dalam beberapa minggu ini.

Kerajaan negeri juga akan memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu terhadap keengganan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan keduanya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi tidak memindahkan semula saman itu ke Mahkamah Komersial Baru (NCC).

Rishwant menyatakan demikian selepas pertemuan dengan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof, bila kes itu muncul untuk urusan hari ini.

Pada 26 Mei, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan negeri, kerana berpendapat kehadiran kerajaan persekutuan dalam saman itu adalah perlu bagi menentukan semua perkara yang dipertikaikan dalam kes itu dapat diadili sepenuhnya.

Mahkamah Rayuan juga mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya saman itu dibicarakan di Mahkamah Sivil Baru (NCVC) dan bukan di mahkamah komersial, di mana saman itu difailkan.

Kerajaan negeri menyaman Petronas kerana dikatakan melanggar kontrak berhubung bayaran tunai yang wajar dibayar kepada Kelantan atas hasil minyak.

Dalam kenyataan tuntutannya, kerajaan negeri menuntut Petronas melunaskan bayaran tunai yang tertangguh dan bayaran masa depan atas minyak yang dihasilkan di luar pantai Kelantan sebagaimana termaktub dalam perjanjian petroleum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.