Isnin, 2 Mei 2011

Kes Khalwat Razak Ahmad Timbul Semula Selepas Enam Tahun

DALAM diam, pelakon Razak Ahmad telah enam tahun berulang alik ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor untuk menghadiri perbicaraan kes khalwatnya.

Dia yang sinonim dengan watak sebagai orang baik-baik dan alim dituduh berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan, Selamah Sahudin yang berstatus isteri orang.

Mereka dicekup pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan dan pendakwaan terhadapnya dibuat empat bulan selepas itu, iaitu pada 27 Julai 2006.

Razak, 44, mengaku tidak bersalah manakala Selamah, 45, yang hadir di mahkamah bersama suaminya yang difahamkan seorang pensyarah mengaku bersalah, lalu diarahkan untuk membayar denda RM2,850 atau dipenjara selama tujuh bulan, jika gagal.

Selamah juga mengakui kebenaran fakta kes yang menyatakan pintu rumah dan jeriji besi rumah tersebut dikunci dan apabila dibuka, Selamah dalam keadaan berpakaian lengkap manakala Razak sedang tidur di bilik pertama dengan hanya berseluar jeans.

Dengan pengakuan itu, Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad menerusi peguam syarienya, Mohamad Azman Karim memulakan 'perjuangan' untuk membuktikan dirinya tidak bersalah seperti yang dipertuduhkan.

Kes khalwat itu mendapat liputan meluas di peringkat permulaan, sebelum ia tenggelam 'dimamah' usia perjalanan kes panjang, selain 'diketepikan' oleh berita-berita artis yang lebih sensasi. Justeru itu, tidak hairanlah apabila riak wajah Razak agak terkejut apabila melihat kehadiran wartawan di mahkamah syariah pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, kes yang telah berjalan selama enam tahun dengan keterangan hanya tiga orang saksi itu belum lagi tiba di pengakhirannya kerana masih ada hujahan yang perlu dimasukkan oleh pihak pendakwaan pada 26 Mei ini bagi menjawab hujahan peguam.

Pelakon yang membawa watak sebagai Tok Imam dalam drama Geng Surau itu akan mengetahui nasibnya pada 30 Jun depan sama ada dia akan dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Pada prosiding itu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad juga mengingatkan pihak-pihak yang terlibat untuk memberi kerjasama bagi 'mempercepatkan kes yang telah terlalu lama'.

Sekiranya dipanggil untuk membela diri, tidak tahu berapa lama pula masa yang akan diambil sebelum kes tersebut benar-benar melabuhkan tirainya.

Peminat hiburan tanah air sememangnya mengikuti perjalanan kes khalwat artis dan antara yang mendapat perhatian ialah kes khalwat Norman Hakim dan Memey kerana ia disusuli dengan perceraian pelakon bertubuh sasa itu dengan Abby Abadi.

Walaupun tidak memakan masa selama enam tahun, kes yang melibatkan tujuh saksi pendakwaan berjalan selama dua tahun sebelum keputusan diberikan pada 29 Julai depan.

Pemulaan minggu lalu juga menyaksikan kehadiran pelakon Shaharuddin Tamby ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur untuk menghadiri prosiding perceraian yang dimulakan oleh isterinya.

Bagaimanapun, permohonan Nor'aini Muhammad, 51, ditentang sekeras-kerasnya oleh Shaharuddin Tamby, 54, yang bersumpah 'demi Allah S. W. T' tidak berniat untuk melafazkan cerai terhadap isteri yang dikahwininya pada 33 tahun lalu.

Pelakon tersebut juga mendakwa permohonan Nor'aini yang berasaskan sebab tiada persefahaman dan tidak menerima pembelaan sewajarnya dibuat dalam keadaan emosi terganggu selepas menjalani pembedahan barah rahim.

Dia juga memberitahu, penyakit tersebut telah memasuki tahap bahaya menyebabkan dia dan isteri bersetuju untuk melakukan pembedahan tersebut selepas berbincang dengan doktor di Hospital Kuala Lumpur.

Shaharuddin juga memberitahu bahawa Nor'aini tidak mengikuti sepenuhnya rawatan susulan dan tidak mengambil ubat seperti arahan doktor.

Sememangkan jodoh, pertemuan dan maut adalah kuasa Allah, tetapi sayang jika masjid yang dibina pada 25 November 1978 dan dikurniakan tiga anak runtuh dengan satu lafaz talak yang diucapkan pada masa usia telah mencecah separuh dekad.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin juga berpendapat usia seperti itu harus dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukan bersama seperti beribadat, melancong dan menjaga cucu.

Beliau yang enggan menunding jari kepada sesiapa dalam masalah perkahwinan itu menasihatkan Shaharuddin dan Nor'aini untuk mengambil inisiatif seperti menjalani kauseling bagi mengembalikan keharmonian rumah tangga.

Nasihat Shaiful Azli adalah supaya pasangan itu hadir ke kauseling dengan hati yang terbuka dan menanamkan niat untuk berubah sebelum menetapkan kes itu disebut semula pada 15 Jun depan.

Apapun, penulis amat berterima kasih kepada Shaharuddin yang bersifat profesional terhadap wartawan yang berada di mahkamah tempoh hari.

Dia yang enggan memberi sebarang komen meminta maaf secara baik kerana memahami wartawan hanya mencari makan, tetapi pada masa yang sama dia perlu menjaga hati isteri yang sememangnya perlu diutamakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.