Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Jatuhnya Putrajaya yang dikuasai BN sekarang bukan disebabkan berhimpun tetapi kerana penjumlahan undi yang lebih popular kepada Pakatan Rakyat yang akan disaksikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang. Sehubungan itu, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim melahirkan rasa terkejut dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa golongan belia Malaysia supaya membantunya mempertahankan Putrajaya agar BN terus berkuasa ketika melancarkan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 yang hanya dihadiri sekitar 8,000 belia sahaja, semalam. Katanya, ucapan Najib tersebut menjelaskan lagi apa yang beliau dakwa dalam kenyataannya kelmarin bahawa pemimpin BN sangat resah, gelisah dan semacam tidak boleh tidur nyenyak memikirkan kuasa yang dimiliki di Putrajaya bakal hilang. Baginya, perhimpunan yang ternyata gagal dari segi jumlah kehadirannya itu ternyata digunakan sepenuhnya Najib dan timbalannya untuk melahirkan perasaan resah dan gelisah kepada kuasa yang bakal hilang. Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, sungguh malang program yang sudah berbulan dirancang dan dicanang oleh pemimpin BN serta mendapat liputan media cetak dan elektronik itu hanya dihadiri seramai itu. “Maka adakah benar-benar mencerminkan sokongan golongan belia terhadap kerajaan dan mermbenarkan mereka tidak sanggup melihat Putrajaya, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat seperti yang dilaungkan Najib dalam ucapannya?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Kerana itu beliau meyakini bahawa para belia akan bersama Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan BN dalam PRU 13 nanti. Oleh itu, beliau sangat menghargai sikap matang para belia pada masa kini untuk bersama seluruh rakyat malaysia bagi menyelamatkan negara yang disayangi ini. “Lucunya Najib cuba merujuk kepada bantahan pro-demokrasi yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat seperti di Mesir dan Tripoli dengan katanya Malaysia aman dan stabil dalam keadaan dia menimbulkan suasana tidak aman dan tenteram dengan mengapi-apikan rasa benci kepada Pakatan Rakyat,” katanya. Tambahnya, sangat malang bagi sebuah negara yang cuba merosakkan para belia dengan perhimpunan untuk mempertahankan sebuah kerajaan yang penuh dengan penyelewangan dan dasar yang menindas rakyat. “Tetapi saya ingatkan di luar sana adalah para belia yang tidak akan berhimpun seperti di Asia Barat tetapi mereka akan berhimpun di pusat pengundian dalam PRU 13 akan datang bagi jatuhkan kerajaan BN. “Saya tegaskan bahawa Najib dan para belia yang berhimpun bersamanya di Putrajaya kelmarin pasti tidak dapat menghalang Pakatan Rakyat ke Putrajaya kerana Putrajaya tidak akan dapat dipertahankan walaupun sejuta belia yang hadir dengan cara berhimpun,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong. Sebelum ini, katanya pada perhimpunan agung tahunan Umno tahun lalu, Najib juga bercakap nada yang sama meminta ahli Umno bersamanya mempertahankan Putrajaya dengan katanya "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa, saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan". Beliau berkata, lucunya Najib mendakwa bahawa para belia tidak sanggup melihat Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dengan tuduhan jahat kononnya Pakatan Rakyat akan melelong Putrajaya. Baginya, itu satu dakwaan yang dilihat sebagai kegelisahan tahap maksimum seorang pemimpin yang akan bertahan sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal sahaja, sesuai dengan slogan 1Malaysia yang dibawanya. “Ternyata kalau kita amati gelagat Najib sejak akhir-akhir ini menunjukkan tanda-tanda kegusaran yang serius dan tidak pernah dialami oleh pemimpin Umno sebelum ini. “Beliaulah satu-satunya pemimpin BN yang dilihat terbukti sedang bergelut dengan suasana sangat getir bagi mempertahankan kuasa BN yang telah melewati 50 tahun itu,” katanya. Justeru, Khalil tidak dapat membayangkan apakah ucapan dan tindakan lain yang akan dilakukan oleh seorang yang disifatkan ‘gila kuasa’ dan sedang melakukan untuk mempertahankan kuasa. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.