Isnin, 30 Mei 2011

Hisham arah polis siasat status 'Sultan Sulu'

BERNAMA


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan polis untuk menyiasat status kewarganegaraan Datu Mohamad Akjan Datu Ali Muhamad, yang mengisytiharkan dirinya sebagai "Sultan Sulu" pada 2 Februari lalu.

NONE"Jika benar dia melanggar undang-undang, maka dia perlu menghadapi apa jua tindakan yang ada kepada kita mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah Ismail Ahmad dan Pengarah Jabatan Penjara negeri Suria Idris, kedua-duanya penduduk Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas gesaan para pemimpin dari parti-parti komponen BN termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan pembangkang supaya kewarganegaraan Mohamad Akjan dilucutkan kerana membuat pengisytiharan itu.

Mohamad Akjan diisytihar sebagai Sultan Sulu ke-33 iaitu keturunan langsung Sultan Sulu terakhir, Paduka Mahasari Maulana Al-Marhum Shariful Hashim 1, dalam satu upacara tertutup yang dihadiri sekumpulan 60 orang termasuk pengikutnya dari wilayah Sulu di rumahnya di Kampung Likas.

Mereka berkata mengangkat sumpah taat setia kepada kuasa asing merupakan "satu tindakan tidak setia atau penderhakaan besar dan satu kesalahan serius di bawah undang-undang dan bahawa status Mohamad Akjan dan identiti sebenar, sama ada dia warga Malaysia atau Filipina sebenar yang datang ke Sabah sebagai seorang pelarian, merupakan satu perkara yang menyentuh kepentingan awam.

NONEHishammuddin berkata, kementerian memandangkan serius perkara itu dan memberi kuasa kepada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, dengan bantuan pegawai dari Bukit Aman, untuk menyiasat dengan teliti.

"Kita perlu tahu sama ada boleh didakwa. Jika dia (Mohamad Akjan) menjadi satu risiko kepada keselamatan maka apa sahaja undang-undang yang perlu, kita akan gunakan tapi yang paling penting tidak berlaku penyalahgunaan undang-undang.

"Kita bukan berpolitik apabila bercakap soal keselamatan. Itu sahaja yang saya boleh minta daripada polis dan sekarang ini imej polis adalah sangat baik, kita tak mahu imej polis tercemar oleh pertimbangan yang lain," katanya sambil meminta isu itu tidak dipolitikkan.


1 ulasan:

  1. datu akjan TIDAK BERSALAH ...
    dia mengikut siasatan saya dan setahu saya tidak ada melanggar undang2 ...

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.