KANGAR — Bekas pemain bola sepak Perlis era 1980-an, Roslee Ramlee, 53, meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas ketika berjoging di kawasan Bukit Lagi dekat sini semalam.
Bekas penyerang pasukan Perlis itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pukul 6.20 petang semalam dan meninggal dunia sejam kemudian.
Isterinya, Azihani Ali yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri Perlis berkata, suaminya yang juga seorang juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) sempat berjoging di situ kira-kira sejam sebelum menelefonnya di rumah dan mengadu sesak nafas lalu beliau membawanya ke HTF untuk mendapatkan rawatan.
Laporan Bernama Online menyebut, Allahyarham yang lebih dikenali sebagai “Chik” menghembuskan nafas terakhir di hadapan Azihani dan dua anaknya, Alissa, 18 dan Afeeq, 16. Jenazahnya dibawa pulang ke rumah mereka di Jejawi Alor Lanchang pukul 10.30 malam tadi dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jejawi Sungai Adam tengah hari ini.
Antara mereka yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan bekas menteri besar, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawante.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.