Muzik medium terbaik
PASPB
Biarpun pernah dihambat dengan pelbagai kontroversi sebelum ini, ternyata ia tidak sedikit pun memberi impak terhadap pasangan Akhil Hayy dan Waheeda.
Menempuh pelbagai dugaan dalam kerjaya, namun rumah tangga yang terbina hampir tiga tahun ini menjadi bukti keutuhan cinta mereka.
Sesi fotografi diadakan di kediaman mereka di pinggir ibu kota. Ramah dalam kata, namun punya seribu makna dalam setiap perbualan.
Rupa-rupanya mereka tidak pernah berdiam diri daripada arena seni hiburan tempatan. Cuma tidak mahu disogok populariti.
Waheeda juga ada kalanya melapangkan diri menemani suami ke majlis formal. Namun, ada kalanya lebih suka bersendiri di rumah dan untuk menguruskan rumah tangga.
Akhil Hayy bukan sahaja terkenal dengan pelbagai ceramah, namun popular dengan beberapa album alunan zikir serta program TV iaitu Cafe Akil Hayy di saluran Astro Oasis.
Program yang mempertemukan Akhil bersama Waheeda itu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan hingga ia disambung kepada musim kedua.
Namun, pada musim kedua terpaksa ditangguhkan seketika dek beberapa masalah peribadi mereka. Jelasnya, ada impak juga terhadap kerjaya Akhil pada ketika itu.
“Saya terima segala dugaan yang datang kepada saya. Ada hikmah terbesar dalam kehidupan saya. Saya masih sayangkan industri seni muzik ini.
“Ada beberapa projek saya yang bakal menyusul. Jadi untuk tahun ini, sudah ada beberapa perancangan dan akan berterusan,” katanya yang sudah pun menyambung kontrak bersama Astro Oasis.
Muncul dengan Cobaan
Bercerita mengenai beberapa projek terbarunya, Akhil tidak sabar untuk turun ke padang menjalani penggambaran rancangan terbarunya iaitu Cobaan.
Cobaan berkisarkan kisah benar yang berlaku kepada masyarakat akan dirakam untuk tontonan umum.
“Rancangan kali ini boleh saya katakan lebih ‘brutal’. Saya akan bawa penonton melihat secara langsung mengenai aktiviti rakyat Malaysia dalam satu-satu masa.
“Boleh dikatakan ada kejutan jugalah dalam rancangan ini. Ia secara tidak langsung boleh menguji kejujuran masyarakat kita dalam aktiviti seharian mereka.
“Saya akan meninjau beberapa lokasi sebagai cara untuk mendekati masyarakat agar dapat menyampaikan mesej.
“Konsep begini lebih mudah untuk mendekati masyarakat. Saya teruja apabila diberitahu mengenai rancangan ini. Saya sudah bersedia.
“Saya berterima kasih kepada pihak Astro Oasis kerana memberi peluang kepada saya. Rancangan ini sebenarnya lain daripada yang lain. Harapan saya ia akan menjadi satu rancangan yang boleh mendidik masyarakat,” katanya.
Terbit album baru
Tidak hanya dengan Cobaan, Akhil juga bakal muncul dengan album terbarunya. Album kelima itu akan dipasarkan pada bulan Syawal tahun ini.
“Album ini akan menampilkan beberapa kelainan, antaranya saya akan menyanyikan lagu nukilan isteri saya sendiri. Bukan mudah untuk menyanyikan lagu berentak world music, tetapi, setelah mendengarnya beberapa kali, saya yakin peminat akan menggemari lagu-lagu dalam album ini nanti.
“Buat masa ini, sudah hampir 70 peratus album sudah disiapkan. Album ini akan menggabungkan pelbagai genre muzik lama dan baru,” katanya yang turut memuatkan lagu tema Imam Muda kolaborasi bersama Mawi.
Menurutnya, album berkonsep taubat ini akan mengumpulkan lirik-lirik ketuhanan.
“Saya harap album ini nanti akan menjadi perintis kepada masyarakat untuk lebih mendekatkan diri dengan Islam.
“Muzik ini sebenarnya tidak salah selagi ia tidak melalaikan. Inilah pendekatan yang digunakan,” katanya lagi.
Tubuh syarikat sendiri
Tidak hanya menumpukan kepada bidang seni, Akhil juga sudah pun menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Akil Hayy Network.
Syarikat yang mengendalikan program ibadah Umrah ini telah mendapat sambutan menggalakkan. Terbaru, Akhil dan Waheeda membawa rombongan seramai 30 jemaah mengerjakan umrah.
“Alhamdulillah, sambutan begitu menggalakkan. Saya sendiri tidak sangka dapat mengerjakan ibadah umrah.
“Apa kami lakukan bukan untuk mengaut keuntungan semata, tetapi ia lebih kepada mengeratkan silaturahim di kalangan jemaah yang pergi.
“Ikatan ukhuwah itu akan dapat terjalin bukan sahaja di Tanah Suci, malah ia akan berterusan sekembalinya ke tanah air.
“Kami masih lagi berhubung dengan jemaah yang pergi bersama-sama kami. Kebetulan kami pergi bersama Mawi dan keluarga, Ustaz Radhi iaitu bekas vokalis kumpulan Melissa serta isteri dan ramai lagi.
“Inilah rezeki Allah. InsyaAllah kami akan meneruskan program ini untuk masa-masa akan datang,” katanya yang turut memasarkan produk minyak wangi.
Menyentuh mengenai beberapa perubahan yang berlaku di kalangan selebriti tempatan, Waheeda mahupun Akhil sangat bersyukur dengan apa yang telah berlaku.
“Bagi saya, baiklah kepada mereka yang berhijrah. Mereka ini telah mendapat hidayah. Janganlah kita mengaibkan mereka,” katanya.
Waheeda masih aktif
Sejak mendirikan rumah tangga, Waheeda nekad meninggalkan arena seni hiburan tempatan. Tidak hanya bersara, malah Waheeda memilih untuk memakai niqab (purdah).
Pada mulanya ada kalangan peminat terkejut dengan penghijrahan dilakukan Waheeda. Ini memandangkan Waheeda antara penyanyi dan pelakon wanita bertudung yang menjadi inspirasi.
Kini, biarpun tiak lagi aktif di depan kamera, Waheeda sebenarnya masih aktif di belakang tabir sebagai komposer. Dua lagu ciptaannya iaitu Ighfir Zunubi dan Subhanak diberikan kepada suaminya Akhil Hayy.
“Pada mulanya agak sukar untuk bekerja bersama suami memandangkan kami berlainan minat dalam jenis muzik. Tapi kami profesional dalam bekerja. Sebagai komposer, saya mahu yang terbaik. Ada juga berselisih pendapat, tapi hanya pada kerja.
“Alhamdulillah, keluar studio kami kembali seperti suami isteri. Saya menganggap bidang muzik sebagai medan untuk berdakwah. Sebelum ini saya ada bekerjasama dengan beberapa kumpulan nasyid seperti Deevotees dan juga Amir Munawer.
“Saya selesa dengan kerja sekarang dan saya anggap Allah memberi ilham untuk saya dalam penulisan lagu ini. Tapi, konsep lagu yang saya cipta masih sama iaitu ‘world music’.
“Mungkin saya bermula dengan genre sebegini, jadi ia sudah sebati dengan diri saya. Saya ada menerima banyak permintaan untuk lagu, cuma jika ada kelapangan saya akan buat,” katanya yang menggubah lagu hanya untuk berkongsi sesuatu dengan masyarakat.
Berniaga jubah Arab
Sesuai dengan penampilannya kini, Waheeda turut aktif berniaga. Memilih perniagaan abaya (jubah Arab), perniagaanya mendapat sambutan luar jangkaan.
“Sebelum ini, saya membuat perniagaan secara online. Tetapi, akaun blog saya telah di pecah masuk, jadi saya tidak dapat meneruskan perniagaan secara online.
“Buat masa ini, saya sudah ada sebuah butik di Ipoh, Perak. Sudah hampir setahun perniagaan ini dan mendapat sambutan yang cukup baik,” katanya.
Ditanya mengapa memilih Ipoh sebagai lokasi, Waheeda berkata ini kerana ramai kawan-kawan lama suaminya ada di sana dan juga sambutan yang diterima.
“Ibu pejabat memang di sana memandangkan suami saya berasal dari sana, tapi kalau ada yang suka dengan abaya kami, ia boleh diuruskan,” katanya.SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.