ROKET KINI.COM
BATU GAJAH – DAP membidas Presiden MIC Datuk G. Palanivel kerana bermain politik murahan dengan mendakwa 20,000 ahli DAP dan PKR telah keluar parti untuk menyertai MIC.
Timbalan Pengerusi DAP Perak V. Sivakumar berkata apa yang berlaku adalah sebaliknya, iaitu terdapat peningkatan dalam jumlah ahli DAP baru dari kalangan kaum India di seluruh negara.
“Ini menunjukkan bahawa semakin ramai yang menaruh harapan dan percaya kepada perjuangan DAP dan Pakatan Rakyat.
“Dari manakah Palanivel mendapat angka 20,000 orang dari parti-parti pembangkang telah memasuki MIC sedangkan terdapat pertambahan dalam jumlah keahlian kaum India dalam DAP sejak tiga tahun kebelakangan ini?” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengakui mungkin ada beberapa orang yang keluar parti kerana gagal mencapai agenda peribadi mereka tetapi ia tidak bermakna DAP dan Pakatan telah hilang sokongan kaum India.
Menurutnya perjuangan DAP adalah untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, dan pendekatan itu telah diterima oleh semua lapisan masyarakat.
“Tujuan (Palanivel) membuat kenyataan ini adalah semata-mata untuk meyakinkan para pimpinan UMNO bahawa MIC mula mendapat sokongan kaum India. Jika tidak MIC akan dianggap sebagai sejarah dan riwayatnya akan dimatikan oleh UMNO dalam pilihan raya akan datang.
“MIC sudah hilang tempat di hati UMNO. Ini dibuktikan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa MIC tidak perlu diberi mana-mana kerusi untuk bertanding di Perak dalam PRU ke-13,” tambahnya.
Sivakumar yang juga Adun Tronoh berkata MIC yang tidak lagi relevan dalam arena politik negara kerana telah hilang kepercayaan kaum India cuba menipu rakyat dengan pelbagai taktik kotor untuk kembali berkuasa.
Sebagai bukti memperjuangkan hak kaum India, beliau mahu Palanivel untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakannya, berdasarkan kedudukan MIC sebagai rakan penting dalam kerajaan pusat Barisan Nasional:
- Kenapa MIC gagal untuk menjadikan mata pelajaran sastera Tamil SPM sebagai satu mata pelajaran yang boleh diambil kira untuk kemasukan pengajian tinggi dan biasiswa?
- Kenapa MIC tidak berjaya menarik balik novel Interlok dari sukatan pelajaran SPM walau pun buku itu telah menghina kaum India dan mendapat tentangan hebat daripada orang ramai?
- Kenapa ramai antara pelajar cemerlang dalam SPM tidak diberi biasiswa luar negeri?
- Kenapa pemimpin-pemimpin utama MIC berdiam diri apabila pemimpin Perkasa Datuk Ibrahim Ali mengugut mereka supaya jangan campur tangan berhubung dengan isu biasiswa JPA?
- Kenapa MIC masih tidak dapat menyelesaikan masalah gaji minimum yang dituntut oleh pekerja-pekerja ladang?
- Kenapa MIC tidak mengambil langkah bantahan keras apabila Nasir Safar, orang kanan kepada Perdana Menteri berkata, “orang-orang India datang ke negara ini untuk meminta sedekah”?
- Kenapa tidak ada apa-apa reaksi daripada pimpinan utama MIC apabila beberapa pemimpin UMNO berkata mereka boleh menang pilihan raya tanpa undi daripada kaum India?
- Kenapa MIC tidak memastikan jumlah pengambilan kakitangan kaum India yang secukupnya dalam sektor awam di seluruh negara?
- Kenapa masih terdapat banyak lagi sekolah-sekolah Tamil bantuan modal di negara kita?
Kenapa ekuiti kaum India menurun dan tidak pernah bertambah dalam tempoh 50 tahun yang lalu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.