Harakahdaily |
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) ingin menjelaskan bahawa isu yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak tentang keperluan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat sumpah laknat (mubahalah) hendaklah diselesaikan mengikut prinsip dan kaedah syarak. Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) berkata, cara yang telah disarankan tersebut adalah tidak menepati dengan kaedah syarak yang sebenarnya. Menurutnya, Sheikh Yusuf al-Qardhawi, seorang ilmuan ternama dunia yang berautoriti dalam bidang syari’ah menjelaskan bahawa orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti (4 orang saksi yang adil). Ini, jelasnya adalah ketetapan Allah yang tidak boleh dikompromikan dan orang yang tertuduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan. “Jika semua kes jenayah mahu diselesaikan dengan amalan bersumpah, maka tidaklah perlu diwujudkan mahkamah, hakim ataupun polis,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini. Beliau menambah, semua pelaku jenayah boleh sewenang-wenangnya melepaskan diri mereka dengan hanya melakukan sumpah. Akibatnya, kata beliau sistem kehidupan negara akan menjadi porak peranda. “Namun begitu, inilah yang dilakukan oleh mereka yang tergolong dari kalangan munafik,” ujarnya. Demikianlah gambaran al-Qur’an: “Mereka (orang-orang munafik) menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. “(Al-Munafiqun: 2). Tambahnya, sifat orang-orang munafik ini memang pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata. Namun begitu, ujarnya mereka sentiasa dihimpit rasa cemas dan gelabah serta bersifat angkuh dan sombong. Ini, katanya jelas dinyatakan Allah di dalam ayatnya yang bermaksud: “Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (batang buruk hampas dan kosong). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)? (4) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.”(Al-Munafiqun: 3-5). Jelasna, isu yang ditimbulkan sebenarnya adalah sebahagian daripada gerakan fitnah yang dilakukan oleh musuh-musuh politik Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 12 tahun yang lalu. “Gerakan fitnah yang semakin menggila sekarang ini adalah manifestasi dari mentaliti tertekan dan kecemasan melampau lantaran sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat sekarang ini,” ujarnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.