Khamis, 28 April 2011

SPRM syor biayai politik atas nama parti

MALAYSIA KINI


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan supaya pembiayaan politik dibuat atas nama parti dan dimasukkan ke dalam akaun parti dan bukan akaun individu bagi memastikan perbelanjaan secara telus dan mengelak peluang rasuah dan penyelewengan.

Menurut Laporan Tahunan 2010 SPRM, pembiayaan politik di negara ini juga harus direkodkan dengan sempurna dan diaudit pada setiap akhir tahun kewangan agar tidak menimbulkan persepsi amalan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Laporan itu menyebut tindakan susulan telah diambil oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan mengkaji semula dan mendraf peraturan atau garis panduan mengenai prosedur sumbangan politik.

Pindaan yang dicadangkan melibatkan Seksyen 14 Akta Pertubuhan yang menyatakan apa-apa sumbangan kepada parti politik hendaklah dibuat atas nama parti politik tersebut dan tidak boleh sama sekali dibuat atas nama individu.

"Setiap Bahagian (parti) adalah bertanggungjawab untuk memastikan apa-apa sumbangan yang diterima dimasukkan ke dalam akaun parti, direkodkan dan dikeluarkan perakuan penerimaan serta digalakkan mengaudit akaun dengan juruaudit bertauliah pada setiap tahun kewangan berakhir," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, pemeriksaan yang telah dijalankan dengan kerjasama daripada Bahagian Pemantauan dan Penyelerasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) - Perangi Rasuah, mendapati pembiayaan politik di negara ini dibuat secara tidak telus dan boleh membuka peluang rasuah dan penyelewengan.

Berhubung pengagihan rumah kos rendah yang tidak adil di Ara Damansara seperti yang dilaporkan media pada tahun lepas, SPRM berkata, pemeriksaan mendapati seramai 22 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperoleh rumah kos rendah itu.

Lebihan rumah kos rendah itu tidak dilaporkan oleh pemaju kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) bagi mendapatkan tambahan peserta.

SPRM mencadangkan pemilik rumah kos rendah yang dipilih oleh pemaju hendaklah didaftarkan dengan LPHS dan mana-mana pemaju yang gagal berdaftar hendaklah dikenakan kompaun dengan kadar lebih tinggi berbanding sekarang.

"Pihak berkuasa juga harus memasukkan klausa penguatkuasaan denda terhadap pemaju yang tidak mendaftarkan mana-mana pemilik yang berjaya dipilih oleh pemaju dalam Dasar Perumahan kos Rendah dan mewujudkan sistem 'networking' antara pemaju dan LPHS bagi memantau pembinaan rumah kos rendah di Selangor," kata laporan itu.

Susulan itu, LPHS telah mengemukakan cadangan yang diberikan oleh SPRM kepada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Selangor untuk diambil tindakan bagi mewartakan keseluruhan enakmen berkaitan rumah kos rendah.

Pemeriksaan SPRM dalam pembekalan Skim Subsidi Diesel dan Petrol kepada nelayan pula mendapati kerajaan terpaksa menangung ketirisan yang serius dianggarkan minimum lima peratus pada setiap tahun bagi tempoh lima tahun.

Menurut laporan tahunan itu, sebanyak 5.32 bilion diesel disalurkan kepada nelayan dari 2006 hingga 2010 dan kerajaan menanggung kerugian RM479 juta bagi tempoh lima tahun itu.

Susulan itu, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM bertindak menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem dan prosedur sedia ada bagi mengenal pasti kelemahan yang wujud dan seterusnya mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan bagi mengekang salah laku.

Kajian itu merangkumi aspek-aspek berkaitan dasar pemberian kuota, permohonan, pemprosesan dan kelulusan kad pintar e-nelayan, pesanan, penghantaran dan penerimaan bekalan diesel bersubsidi, urus niaga pembelian dan penjualan diesel bersubsidi dan pemantauan dan penguatkuasaan.

"Tugasan ini diteruskan dalam tahun ini," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut fenomena itu secara tidak langsung mengakibatkan usaha dan matlamat kerajaan untuk membantu golongan sasar tidak tercapai.

Skim Subsidi Diesel dan Petrol yang dikendalikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia diperkenalkan bagi membantu menampung sebahagian kos operasi menangkap ikan akibat kenaikan harga diesel dan petrol kepada nelayan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.