PUTRAJAYA: Sistem undi pos yang membolehkan kumpulan pemilih tertentu menunaikan tanggungjawab seperti pengundi awam akan dipinda, kata Pengerusi Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata cadangan pindaan pada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya itu akan dibentangkan di Parlimen pada Jun ini dan dijangka dapat diguna pakai pada pilihan raya umum ke-13.
"SPR berpendapat sistem pengundian pos yang sedia ada masih lagi relevan. "Pengundi akan dikumpulkan di dewan tertentu untuk mengundi dan bentuk pengundiannya adalah seperti pengundi awam iaitu hanya perlu memasukkan kertas undi dalam tong undi tanpa perlu mengisi Borang 2 dan memulangkannya semula secara pos kepada pihak SPR," katanya dalam temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di pejabatnya, di sini, Jumaat.
Abdul Aziz berkata bagaimanapun pindaan itu tidak terpakai bagi pelajar dan mereka yang bertugas di luar negara serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di perbatasan. Mengulas lanjut, beliau berkata undi pos tidak boleh dimansuhkan kerana melibatkan isu keselamatan negara memandangkan pemansuhannya mengakibatkan pemilih daripada kalangan anggota keselamatan meninggalkan tugas untuk menunaikan tanggung jawab mengundi.
"Begitu juga bagi anggota polis yang tidak dapat melaksanakan tugas mereka menjaga ketenteraman awam kerana terpaksa berada di pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
"Selain itu, keadaan ini juga boleh menyebabkan pegawai, kakitangan dan pasangan mereka yang bertugas di luar negara serta pelajar dan pasangannya yang menuntut sepenuh masa di luar negara dihalang hak asasi mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Isu undi pos sering kali dibangkitkan parti pembangkang yang mahu sistem itu dimansuhkan kerana mendakwa ia boleh dimanipulasi.
Mengulas perkara itu, Abdul Aziz berkata dakwaan itu menggambarkan SPR tidak boleh dipercayai sedangkan badan tersebut sentiasa berusaha memastikan pilihan raya berjalan dengan bersih tanpa sebarang penipuan.
Sistem pengundian pos bagi konteks "Pengundi Tidak Hadir" diperuntukkan oleh Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Ia bagi memberi peluang kepada anggota ATM; anggota polis; Pasukan Gerakan Am; pegawai, penjawat awam serta pasangan mereka yang bertugas di luar negara serta pelajar dan pasangan yang menuntut sepenuh masa di luar negara untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing memilih wakil rakyat yang mereka sukai dengan mengundi secara pos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.