Rabu, 27 April 2011

Pilihan Raya Singapura: Lee Kuan Yew Menang Tanpa Bertanding

BERNAMA

SINGAPURA: Menteri Mentor, Lee Kuan Yew menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen walaupun parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dijangka menerima cabaran kuat daripada pembangkang pada pilihan raya umum republik itu pada 7 Mei ini.

Menurut Jabatan Pilihan Raya Umum, satu kawasan diisytiharkan tiada pertandingan selepas pencalonan bagi 27 kawasan ditutup pada pukul 12.30 tengah hari Rabu.

Jabatan itu berkata, bagi 26 kerusi yang dipertandingkan, pemilihan ditetapkan pada 7 Mei.

Pada pilihan raya kali ini, setiap kerusi Parlimen menyaksikan pertandingan satu lawan satu kecuali Tanjong Pagar yang dimenangi Lee.

Lee, 87, bersama empat calon PAP lain yang bertanding di kerusi Tanjong Pagar diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas parti pembangkang gagal mengemukakan calon mereka sehingga tempoh pencalonan ditutup.

Beliau yang masih berkhidmat dalam kabinet kerajaan Singapura sebagai menteri mentor menjadi perdana menteri pada tahun 1959 selepas Singapura memperolehi hak memerintah sendiri dari Britain.

Lee melepaskan jawatan tersebut pada tahun 1990. Anaknya, Lee Hsien Loong, kini menjadi perdana menteri iaitu sejak 2004 dan akan mengetuai PAP menghadapi pilihan raya umum untuk kali yang kedua.

Walaupun kelihatan agak lemah tetapi Lee yang kematian isterinya Kwa Geok Chew, tahun lalu dipimpin oleh salah seorang anak perempuannya untuk mengemukakan borang pencalonan di sebuah sekolah awam tanpa berjaya dicabar oleh mana-mana calon parti lawan.

Sebenarnya, bukan tidak ada percubaan untuk meletakkan calon tetapi wakil pembangkang hanya terlewat 35 saat untuk mengemukakan borang pencalonan mereka setelah berhempas pulas mengumpul dana untuk dijadikan wang deposit sebanyak S$80,000 sebagaimana yang ditetapkan syarat.

Sebagai menghargai pengundi di kawasan tersebut, Lee memberi jaminan akan berbakti di kawasannya dalam tempoh lima tahun lagi.

Sejak tahun 1991, beliau tidak dicabar walaupun menyambut baik sebarang cabaran di kawasannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.