Selasa, 26 April 2011

PERSADA : Rakyat Terus Diberi Keutamaan, Kata Khalid

TVS NEWS


KUALA SELANGOR : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberi penerangan dan motivasi kepada wakil penduduk Kuala Selangor mengenai keperluan dan kepentingan rakyat yang menjadi agenda utama Pakatan Rakyat dalam setiap programnya.

Menurut Khalid, segala perancangan yang dibuat telah diteliti sehabisnya demi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat di negeri ini.

"Negeri Selangor adalah negeri yang mementingkan rakyat, oleh sebab itu segala usaha pembangunan ekonomi mesti mengambilkira apakah kepentingannya kepada rakyat, itu sebab kita adakan program MES,"katanya.

Khalid berkata demikian pada Program Jelajah Pemerkasaan Desa Selangor (PERSADA) 2011, yang diteruskan ke daerah Kuala Selangor.

Dalam ucapannya, Khalid memberitahu bahawa amalan telus kerajaan negeri serta potensi yang ada di Selangor bawah pimpinan Pakatan Rakyat telah menarik ramai pelabur untuk melabur di negeri ini.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah untuk memastikan Selangor menjadi negeri idaman dengan kemajuannya dikekalkan dan rakyat diutamakan, manakala kualiti hidup terus ditingkatkan.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga akan memastikan limpahan nikmat kekayaaan negeri diagihkan kepada rakyat.

"Dalam masa 3 tahun dengan cara pemerintahan yang terbuka dan telus ini dan tidak membezakan sesiapa telah memberi manfaat yang lebih besar daripada kerajaan terdahulu,"jelasnya lagi.

Program yang diadakan di Stadium Kuala Selangor turut dihadiri Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr. Yaakob Sapari.

Program anjuran kerajaan negeri ini menumpukan usaha memberikan penerangan dan motivasi kepada wakil masyarakat desa mengenai usaha pembangunan dan program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri supaya dapat dimanfaatan oleh penduduk di kawasan-masing-masing.

Program PERSADA akan diteruskan ke daerah yang terdapat di Negeri Selangor dan antara intisari program PERSADA adalah sesi motivasi dan latih tubi secara berkumpulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.