Rabu, 27 April 2011

Melayu mesti tolak perkauman sempit Umno

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Semenjak selesai Pilihan Raya Sarawak di mana DAP telah menang di 12 kerusi DUN, DAP telah menjadi sasaran pencacai Umno khususnya Utusan Malaysia dengan slogan ‘Bersatulah Melayu’ mereka.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) berkata, ini dilakukan walaupun diketahui umum bahawa semua parti-parti komponen PR juga turut menunjukkan prestasi yang semakin meningkat.

DAP, katanya dijadikan sasaran kerana mereka telah berjaya memperolehi kebanyakan undi dari masyarakat Cina dan dengan itu dikatakan bahawa Cina telah bersatu bawah DAP.

Katanya, dengan gaya pemikiran perkauman sempit yang menguasai minda Umno, maka tidak pelik bagi kita apabila kejayaan DAP untuk meraih undi Cina ditafsirkan sebagai penyatuan Cina untuk ‘menentang Melayu’.

“Pemikiran perkauman yang menguasai minda Umno, yang diluahkan melalui lidah tidak rasmi mereka, iaitu Utusan Malaysia, tidak berkemampuan memikirkan sebab dan alasan yang lain mengapa masyarakat Cina secara padu menyokong DAP,” tulis beliau di dalam blognya.

Menurutnya, mata mereka dikaburi perkauman dan telinga mereka didendangkan dengan sorakan-sorakan perkauman, tiada yang mereka mampu lihat dan tiada yang mereka mahu dengar melainkan perkauman.

Hakikatnya, kata beliau masyarakat Cina telah menyokong calon DAP dan menolak calon SUPP. Kedua-duanya adalah berbangsa Cina.

“Persoalannya, mengapa masyarakat Cina menyokong seorang calon Cina dan menolak calon Cina yang satu lagi?” soalnya.

Kata beliau, ianya tidak boleh dijawab dengan alasan perkauman kerana pada hakikatnya dua-dua calon adalah berbangsa Cina.

Yang berbeza, ujarnya adalah seorang calon (SUPP) berdiri bersama BN dan seorang lagi (DAP) berdiri bersam PR.

Katanya lagi, BN melambangkan kerajaan yang tenggelam dengan rasuah dan kronisma sambil PR pula melambangkan kerajaan yang bebas rasuah, telus dan berkebajikan.

Tambahnya, keadaan Taib Mahmud sebagai pemimpin yang kaya raya hasil rasuah jelas terukir di pemikiran masyarakat Sarawak dan oleh itu masyarakat Cina menolak BN dan sekutu-sekutunya.

“Kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada DAP dan kumpulan NGO Cina yang telah berjaya mendidik masyarakat Cina untuk menolak pemimpin Cina yang rasuah ataupun yang bersubahat dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah,” ujarnya.

Menurutnya, penolakan menyeluruh oleh masyarakat Cina terhadap amalan rasuah adalah berdasarkan kefahaman yang telah dibina bertahun-tahun melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menyakinkan mereka bahawa rasuah ini akan memusnahkan negara.

“Oleh itu, saya sememangnya bersetuju bahawa masyarakat Cina telah bersatu, tetapi bukan untuk menentang Melayu, mereka bersatu untuk menentang rasuah dan penyelewengan.

“Mereka telah berjaya membuktikan di Sarawak bahawa mereka akan menolak mana pemimpin Cina, walau ‘BESAR’ mana sekalipun, walaupun presiden pada sebuah parti, sekiranya pemimpin itu mengamal atau bersubahat dengan rasuah,” katanya.

Sememangnya, tambah beliau orang Melayu juga wajib bersatu seperti mereka tetapi bukan bersatu di atas dasar perkauman seperti seruan Utusan Malaysia dan Perkasa.

Katanya, orang Melayu harus bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah, lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa orang Melayu beragama Islam dan Rasulullah (SAW) telah menyatakan dengan jelas bahawa “pemberi dan penerima rasuah berada di dalam api neraka”.

“Sepatutnya, kita yang menunjukkan penolakan dan penentangan terhadap rasuah dan pemerintahan yang menyeleweng ini jauh lebih awal dari masyarakat lain.

“Sepatutnya kita yang berada di depan mendahalui yang lain, menjadi ummat yang boleh dicontohi, tetapi malangnya kita tetap berada ditahap lama, ditinggalkan masyarakat lain, khususnya masyarakat Cina pada ketika ini,” ujarnya.

Ini, ujarnya berlaku kerana malangnya, orang Melayu Islam di bawah pengaruh Umno dan Umno di atas sebab kejahilan mereka, telah mengharuskan rasuah di dalam alam politik dengan menganggap pengampunan Allah akan terjamin apabila dilakukan umrah sekali sekala.

Tambahnya, Umno yang menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari Umno kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa.

Menututnya lagi, Umno yang memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka terus tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila Umno kalah yang menang bukan DAP; tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR.

Beliau berkata, dalam suasana kejahilan, ketakutan dan kebodohan ini Umno meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu.

“Oleh itu, Umno ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa,” katanya.

Beliau menambah, inilah cabaran yang perlu diharungi PAS, khususnya untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari belenggu kejahilan, ketakutan dan kebodohan yang dipasang oleh Umno ke atas mereka.

Ini, ujarnya sehingga, satu hari kelak, masyarakat Melayu Islam akan bersatu, bukan untuk menentang Cina, tetapi untuk menentang rasuah dan menolak pemimpin yang rasuah dan parti yang membudayakan rasuah.

“Kalau DAP boleh berjaya dengan masyarakat Cina, mengapa tidak kita, masyarakat Melayu yang beragama Islam?

“Sekiranya tidak maka kita akan ketinggalan dan masyarakat lain akan menjadi jauh lebih maju dari kita,” ujarnya lagi.

Ini, tambahnya bukan sekadar lebih maju dari sudut material, tetapi lebih maju dari sudut nilai ketamadunan juga.

“Maka akhirnya apa yang akan ada dengan masyarakat Melayu Islam?” soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.