M Faqih |
KUALA KRAI: Mungkin ramai terpengaruh dengan laporan media yang mendakwa kononnya kerajaan negeri merampas tanah yang diteroka penduduk di Kampung Jeram Panjang, Mukim Manjor. Lebih-lebih lagi apabila dipaparkan visual lelaki dan perempuan tua menangis seperti disiarkan RTM melalui slot berita perdana, baru-baru ini. Tahukah anda, tidak pernah berlaku sebarang rampasan tanah seperti didakwa media massa, sebaliknya penduduk terbabit didakwa menceroboh hutan simpan kekal (HSK). Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, penduduk yang menceroboh HSK tersebut telah diberi beberapa kali peringatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri, namun mereka tidak mengendahkan. Katanya, HSK di mana-mana negeri sekali pun tidak boleh diceroboh kerana ia merupakan zon penampang. “Jabatan Perhutanan Negeri sejak dari awal lagi melarang penduduk meroboh kawasan tersebut. Renjer Hutan sudah beberapa kali memberi amaran dan menghalang mereka namun tidak diendahkan. ”Sebaliknya seramai 18 penduduk berdegil dan menanam pokok getah di kawasan HSK di Mukim Manjor,” katanya di sini. Menurutnya juga Jabatan Perhutanan melaksanakan program penanaman getah jenis klon di kawasan tersebut bagi tujuan melestari alam sekitar termasuk di kawasan yang diceroboh penduduk. Kata beliau syarikat yang mendapat tender menanam getah jenis klon di kawasan tersebut telah menandakan kawasan yang akan dilaksanakan program berkenaan. “Bagi menyelesaikan masalah dengan penduduk, Jabatan Perhutanan telah memanggil kesemua 18 orang yang menceroboh kawasan HSK terbabit. “Perjumpaan itu diadakan awal tahun ini bertempat di Taman Tengku Anis, Cabang Tiga Sungai Syam yang mana saya juga hadir. Selain itu anggota polis dari Balai Polis Laloh, Renjer di Manek Urai dan Jabatan Perhutanan Negeri. “Pada perjumpaan tersebut syarikat yang diberi tanggungjawab melaksanakan program menanam getah klon bersetuju membayar pampasan kepada penduduk mengikut batang getah yang ditanam. “Penduduk yang hadir bersetuju dan telah menerima bayaran mengikut bilangan pokok getah yang ditanam. Namun hari ini mengapa pula media cuba membohongi perkara sebenar yang berlaku,” ujarnya. Beberapa akhbar hari ini melaporkan penduduk yang mengusahakan kebun getah dan dusun buah-buahan di Kampung Jeram Panjang mendakwa tanah diteroka sejak 40 tahun lalu dirampas kerajaan negeri. Dilaporkan 30 penduduk berdepan dengan kerugian apabila pokok getah yang mereka tanam akan ditebang bila-bila masa sahaja bagi membolehkan pembangunan Ladang Rakyat dijalankan. Oleh itu Arifabillah bercadang mengambil tindakan mahkamah ke atas media yang menyembunyikan fakta sebenar sehingga memperlihatkan kerajaan negeri merampas tanah rakyat. “Saya sungguh kecewa dengan laporan akhbar dan televisyen yang menyembunyikan cerita sebenar. Ini bukan pertama kali berlaku. “Isu ini sengaja diputar belit oleh pihak ketiga yang mengharap mendapat imbalan politik secara tidak bermaruah,” katanya. Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, pihaknya tidak pernah melaksanakan projek perladangan di kawasan berkenaan. Katanya, apa yang disiarkan media adalah tidak benar sama sekali dan perkara itu disahkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.