SHAH ALAM : Kerajaan tidak pernah belajar dari pengalaman lepas dan hanya memikirkan kantong sendiri termasuk pihak luar kata ahli parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berhubung satu lagi projek mencari galian nadir bumi di Bukit Merah.
Malah lebih malang katanya, apabila risiko dan ancaman yang bakal dihadapi oleh rakyat tidak pernah difikirkan sama sekali.
" Isu tanah jarang di Bukit Merah (dahulu) dibantah oleh rakyat dan apabila pakar-pakar yang dibawa untuk menjadi saksi dalam kes mahkamah menunjukkan bahawa ini memang satu industri yang mencemarkan alam sekitar dan mengancam alam sekitar penduduk persekitaran," katanya.
" Kesan pencemaran alam sekitar bukan sekadar semasa perlombongan itu berlaku, tetapi kesan pencemaran adalah puluhan tahun dan mungkin mencapai ratusan tahun. Dan kesan kepada kesihatan rakyat juga mungkin berlarutan," tambah beliau ketika dihubungi Tv Selangor, hari ini.
Walaupun rakyat di serata negara membantah hebat pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan, namun kerajaan negeri Perak di bawah Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Kadir berbuat sebaliknya.
Tanpa menghiraukan suara rakyat, kerajaan negeri itu sedang bekerjasama dengan sebuah firma Hong Kong untuk mencari galian nadir bumi di Bukit Merah, berhampiran Ipoh.
Menurut pengumuman CVM Minerals Ltd kepada Bursa Saham Hong Kong, syarikat berkenaan telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada 18 Apri lalu bagi tujuan itu.
PKNP adalah syarikat pelaburan bagi kerajaan negeri Perak.
" Kerajaan Barisan Nasional di bawah Menteri Besar Zambry Kadir dan exco yang berkenaan nampaknya tidak belajar dari pengalaman.
" Sekarang kita lihat apa yang berlaku di Gebeng Kuantan memang ada bantahan yang keras dari rakyat.Saya hairan kenapa ini industri ini hendak dibuat sekali lagi di Bukit Merah. Saya rasa Datuk Zambry Kadir perlu jelaskan hal ini,"tambahnya lagi.
Untuk rekod, kilang sama pernah cuba dibina di Bukit Merah Perak pada 1980-an namun ia mendapat bantahan keras penduduk kerana memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti kanser, leukemia, cacat, malah ada yang meninggal dunia.
Bantahan berkenaan bukan sahaja melalui demonstrasi jalanan malah dibawa ke muka pengadilan.
Ia akhirnya membawa penutupan kepada Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh pada 19 Januari, 1994 setelah didesak rakyat sejak sekian lama.
Khamis, 28 April 2011
Lombong Nadir Bumi : Belajarlah Dari Pengalaman Lepas Kata Boon Chye
Ditulis oleh Ayie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.