SHAH ALAM : Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan setiap permohonan pemberian pemilikan tanah dibuat dan diproses semula mengikut kawasan atau kampung secara berkelompok bagi memastikan masalah tanah ini selesai secara muktamad.
Justeru, kerajaan Selangor mengarahkan pegawai tanah di negeri ini untuk mengumpul segala data yang diperlukan bagi membuat kertas kerja untuk mengenalpasti golongan yang layak mendapat milikan tanah tersebut.
Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan dalam Sidang Dewan hari ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri menolak sepenuhnya dasar pemberian selektif hak milik tanah yang diamalkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Katanya, keputusan tersebut diambil berikutan hanya 10 peratus daripada pemohon mendapat hak pemilikan yang sah.
Menurut Khalid lagi, semakan yang dijalankan mendapati pentadbiran sebelum ini tidak pernah memantau secara teliti pemberian hak milik tanah sehingga terdapat kes pemberian tanah kepada golongan yang tidak layak.
"Apabila permohonan sampai ke peringkat exco dan semakan dijalankan, kita mendapati pentadbiran yang Umno-BN sebelum ini tidak terlalu berkira tentang siapa yang berhak memiliki dan tidak memberitahu mereka yang sah. Terdapat pemberian kepada mereka yang tidak sepatutnya," jelas beliau.
Namun menurutnya lagi, pendekatan ini menimbulkan sedikit kelewatan memandangkan pejabat-pejabat tanah daerah perlu membuat siasatan semula terhadap tanah-tanah yang dipohon dengan dasar negeri berkebajikan.
"Kita takut memberi pemilikan tanah kepada mereka yang tidak layak.
"Untuk itu kita telah membuat satu dasar yang mana kita mahu menyelesaikan keseluruhan dengan tidak mengambil kira siapa dan pemahanan mereka," kata Khalid lagi.
Kerajaan Selangor sehingga kini telah menerima sebanyak 400 permohonan dan akan disemak secara berperingkat untuk diselesaikan secara komprehensif dan sistematik.
Katanya, proses semakan akan mengambil sedikit masa berikutan penyelarasan yang kurang mantap oleh pemerintahan terdahulu.
Permohonan tersebut menurut Khalid berasaskan pemilik sah yang tinggal di kawasan tersebut melebihi 10 hingga 15 tahun.
Tambah Khalid, perkara tersebut dibuat selaras dengan prinsip ketelusan yang diamalkan kerajaan negeri Selangor agar semua pemilik tanah yang layak diberi hak sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.