Rabu, 30 Mac 2011

PRU Sarawak : Anwar Mula Jelajah Bumi Kenyalang

TVS NEWS


SARAWAK : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan siri jelajah di Sarawak dengan menyeru penduduk Bumi Kenyalang supaya mengatasi perasaan takut kepada pemimpin Barisan Nasional yang mengamalkan rasuah dan mencuri hak rakyat.

Anwar menggesa rakyat negeri itu tidak tunduk kepada tekanan dan asakan BN pada hari-hari menjelang pilihanraya negeri pada 16 April, tetapi menggunakan kuasa mengundi mereka untuk menamatkan pemerintahan rakus Tan Sri Abdul Taib Mahmuad.

Kira-kira 500 orang membanjiri sebuah kedai kopi di Padungan untuk mendengar amanat Ketua Pembangkang itu malam tadi.

"Orang jahat tak ramai, tapi ramai orang takut pada orang jahat. Orang rasuah tak ramai, tetapi mereka lakukan macam-macam. Bukan semua dalam kerajaan negeri melakukan rasuah. Tetapi kita kena tukar pemimpin-pemimpin rasuah, tukar kerajaan dan barulah negeri ini akan selamat,” kata Anwar.

Anwar menambah rakyat Sarawak tidak perlu takut kepada pemimpin BN yang rasuah dan menyeleweng tetapi sebaliknya menggunakan hak mereka untuk membuat perubahan pada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan pada 16 April akan datang.

"Rakyat tidak perlu takut, Bukan kita curi duit orang. Kita tak perlu takut kepada mana-mana pihak. Orang yang mencuri balak beribu-ribu ekar tidak takut, kenapa harus kita yang takut,” kata Anwar.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat berkata rakyat tidak lagi boleh dibuai dengan janji-janji manis BN yang telah memiskinan negeri, sungguhpun Sarawak kaya dengan sumber asli.

Beliau juga berkata propaganda media arus perdana harus ditolak dan pengundi mesti bijak menggunakan kuasa yang ada pada tangan mereka.

"Percayalah, menang dan kalah bukan televisyen cakap. Bukan Menteri cakap. Bukan Perdana Menteri Najib cakap gua tolong lu, lu tolong gua, Nak menang atau kalah, rakyat putuskan." Tegas Anwar kepada tepukan hadirin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.