Rabu, 30 Mac 2011

Pilihan raya adil: SPR tak boleh diharap secara total, kata TI-M

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh “diharap” sepenuhnya dalam memastikan proses pilihan raya negara ini adalah bebas dan adil, kata badan pemantau Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini.

Presidennya Datuk Paul Low berkata, SPR telah gagal untuk memperlihatkan agensi itu adalah “bebas” dalam menjalankan fungsinya meskipun mereka dijamin autonomi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh harap sepenuhnya pada SPR dalam menguatkuasakan undang-undang (pilihan raya), mereka kelihatan tidak bebas dalam tindakan mereka,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Low berkata undang-undang pilihan raya sedia ada tidak dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin dan banyak kesalahan pilihan raya tidak dikenakan hukuman sewajarnya.

“SPR hanya menguruskan proses pilihan raya, bukannya menguatkuasakan (undang-undang).

“(Senarai) perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan (juga) tidak banyak... tidak jelas, samar-samar mengenai sempadan rasuah,” kata Low ketika negara bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak bulan depan.

Hari penamaan calon adalah 6 April manakala pengundian akan diadakan 16 April.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) secara konsisten menuduh SPR tidak menjalankan fungsinya dengan bebas dalam kebanyakan pilihan raya kecil, menyebabkan banyak aduan dikemukakan terhadap suruhanjaya tersebut.

Bagaimanapun SPR mempertahankan ia tidak memihak Barisan Nasional dan menolak dakwaan ia tidak bebas.

“SPR perlu dikukuhkan dengan diberi lebih banyak kuasa untuk menjalankan pilihan raya.

“Banyak perkara berlaku (ketika pilihan raya), banyak penyalahgunaan, amalan-amalan yang bertentangan dengan undang-undang, tidak beretika, tetapi undang-undang pilihan raya tidak tegas dalam penguatkuasaan,” kata Low.

Malah banyak pihak telah meminta agar SPR diberikan kuasa lebih luas dan bebas sepenuhnya daripada ‘pengawasan’ kerajaan pusat.

Sehubungan itu kata beliau, TI-M telah mengesyorkan 22 pembaharuan di bawah tiga tema iaitu pembaharuan institusi, perundangan dan media demi memperbaiki ketelusan dan akauntabiliti dalam pembiayaan politik.

“(Pembaharuan) ini adalah ujian penting... kemungkinan indeks persepsi rasuah kita boleh diperbaiki,” kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.