Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz berkata, beliau selaku menteri bertanggungjawab terhadap urusan parlimen dan Speaker, tidak dirujuk dalam isu pemberian kontrak pembaik pulih parlimen. Katanya, Menteri Kerja Raya hanya memaklumkan kepada beliau berhubung penganugerahan kontrak itu kepada sebuah syarikat tanpa ada sebarang perundingan dengan beliau. "Saya pun sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak tahu tentang pemberian contract award ini. "Kita tidak dirujuk, tetapi hanya dimaklumkan apa yang hendak dibuat. "Berapa jumlah kontraknya, kosnya dan siapa, itu tidak dirujuk kepada saya selaku menteri yang jaga urusan parlimen dan juga speaker," jelasnya. Beliau menjelaskan demikian menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mempersoal beberapa isu dalam penganugerahan kontrak pembaikpulih bangunan parlimen oleh Kementerian Kerja Raya kepada syarikat TRC Corporation. "Perbelanjaan itu bawah JKR atau Parlimen? "Kalau bawah parlimen, kenapa menteri yang tidak bertanggungjawab di bawah parlimen tidak dirujuk, ini satu perkara yang malang dan perlu diperbetulkan," balas Mahfuz. Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS sebelum itu mendakwa kontrak tersebut diberi secara runding terus tanpa penelitian kos kononnya di bawah Perbelanjaan Darurat–AP 55. "Darurat apanya, taklimat JKR kepada Jemaah Menteri berhubung laporan kajian baikpulih dan naik taraf bangunan parlimen Malaysia pun dibuat 12 Mei 2010," katanya kemudian ketika ditemui Harakahdaily. TRC Corporation tersebut juga didakwa adalah syarikat sama yang sebelum ini dianugerahkan kontrak membina 'istana' berharga RM11 juta milik bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terletak di Jalan Mahameru. Kontraktor syarikat tersebut juga katanya yang terlibat dalam pembinaan pengkalan kapal selam di Sabah yang bernilai RM400 juta. "Bukan syaraikat ini sahaja dapat anugerah, setiap tahun ada syarikat diberi anugerah. "Paling tidak pun, panggil semua syarikat-syarikat yang dapat anugerah ni, buat selective tender," katanya. November tahun lepas, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor mengumumkan bangunan Parlimen yang sudah berusia hampir lima dekad akan melalui pengubahsuaian struktural secara menyeluruh bagi menyelesaikan masalah kerosakan yang sering berlaku sebelum ini. Oleh itu, dewan persidangan Parlimen dipindahkan buat sementara waktu ke dewan serbaguna berdekatan Parlimen. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.