Isnin, 28 Mac 2011

Lima peratus alami strok bawah umur 50 tahun

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Golongan muda juga tidak terlepas daripada risiko diserang angin ahmar atau strok memandangkan 15 peratus daripada 480 kes terdiri daripada golongan muda di bawah umur 50 tahun.

Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Ikram Shah Ismail hari ini risiko itu tidak dapat dielakkan sekiranya mereka tidak mengamalkan cara hidup yang sihat.

“Fenomena ini semakin membimbangkan, kerana penyakit ini boleh menyerang secara tiba-tiba dan boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit secara berterusan,” katanya pada majlis makan tengah hari meraikan lebih 150 pesakit strok dalam usia muda di sebuah restoran di sini.

Majlis anjuran Persatuan Wanita bagi Rantau Pasific dan Asia Tenggara (PPSEAWA) Malaysia itu, turut meraikan lebih 300 orang anak yatim, anggota keluarga pesakit strok dan bekas pesakit.

Selain itu, katanya, pesakit strok, terutama yang menghadapinya di usia muda perlu diberi sokongan kuat supaya mereka tidak patah semangat untuk terus menjalani rawatan penyakit itu.

Mengenai majlis itu, Dr Ikram Shah berkata menerusi majlis berkongsi pengalaman mengenai cara menangani serta mengubati penyakit dari pesakit lain yang sudah sembuh, ia mampu membantu pesakit untuk terus bersemangat menjalani rawatan.

Pada majlis itu, beberapa orang pesakit yang berusia dalam lingkungan 40an menceritakan pengalaman mereka mendapat penyakit itu serta rawatan yang terpaksa dijalani termasuk fisioterafi sehingga mampu sembuh 80 peratus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.