Selasa, 29 Mac 2011

Bekas pengurus besar hadapi tuduhan pecah amanah RM379,712

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Pengurus Besar Ikram Megah Sdn Bhd, sebuah syarikat pengimport daging beku, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan wang syarikat berjumlah RM379,712.

Yen Kok Ho, 49, dari Taman Selayang Baru, Batu Caves, didakwa membuat beberapa invois palsu atas nama enam syarikat sebelum memasukkan cek-cek milik Ikram Megah Sdn Bhd bernilai antara RM327 dan RM25,000 ke dalam akaun miliknya antara 29 Jan 2000 dan 2 Okt 2006.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Dua, Selayang Baru, Batu Caves.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 408, yang jika disabitkan kesalahan, membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh disebat dan didenda.

Majistret Muhamad Najib Ismail membenarkan Yen diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Rakan Yen membayar jaminan itu.

Pendakwnaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Hamzah manakala Yen tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.