Ismail Hashim |
SHAH ALAM: Seramai 80,000 rakyat peneroka tanah di Selangor mendapat manfaat besar apabila kerajaan negeri memberikan geran sah milik kepada mereka setelah berpuluh tahun mendiaminya. Proses ini dilakukan secara berkelompok kerana sebelum ini dibuat secara terpilih di mana didapati dalam 200 keluarga di sesuatu tempat itu, tidak sampai sepuluh peratus mendapat geran itupun mengikut kepentingan politik pihak tertentu. Namun dasar tanah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat adalah untuk menyelesaikan keseluruhan tanpa mengambil kira fahaman politik mereka kerana sebagai rakyat Selangor mereka berhak mendapat geran tersebut. Dewan Negeri Selangor diberitahu oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) ketika menjawab soalan dalam sesi dewan kali ini. Menurutnya, kelulusan geran tanah diberikan kepada peneroka yang telah nenggusahakan tanah berkenaan sejak 10 hinga 15 tahun lalu. "Mereka akan diberikan geran tanah sah milik ini dengan syarat mereka sendiri usaha dan membina kediaman di atasnya dan bukan untuk perniagaan," tegasnya. Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab Adun Sekinchan, Ng Swee Lim. Dalam pada itu, Abdul Khalid juga memaklumkan pihak kerajaan negeri menolak permohonan peneroka profesional yang memohon untuk empat hingga lima kawasan tanah berasingan. "Permohonan untuk tanah kosong yang masih belum diusahakan juga akan ditolak. "Kerajaan juga tidak mengamalkan kelulusan terpilih di mana hanya sepuluh peratus sahaja diluluskan daripada jumlah 200 permohonan seperti amalan. "Tiada unsur politik mempengaruhi semua pihak dalam melulus atau menolak permohonan ini kerana Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengamalkan sikap telus. "Semua yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini adalah untuk menjaga kepentingan rakyat terbanyak dengan tidak menafikan hak rakyat yang lain," tegasnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.