Ahad, 27 Februari 2011

Yuhaizad insan ikhlas, komited berjuang

Hazayani Zakaria

JASIN: Calon PAS bagi Pakatan Rakyat di Merlimau, Yuhaizad Abdullah seorang aktivis yang komited dan ikhlas dalam perjuangan, kata Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Anthony berkata, beliau yakin Yuhaizad mampu membawa masalah rakyat ke Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan ikhlas sekiranya memenangi pilihan raya kecil kali ini.

"Memang calon Pakatan Rakyat di Merlimau ini, Yuhaizad seorang aktivis yang komited dan beliau telah banyak berkhidmat untuk PAS dan Pakatan Rakyat.

"Saya juga pernah nampak beliau dalam beberapa pilihan raya kecil yang lepas dan memang beliau seorang insan yang ikhlas dan saya yakin kalau beliau dilantik sebagai wakil rakyat beliau akan menjalankan tugasnya dengan penuh keihklasan," kata beliau ketika ditemui di pusat penamaan calon di Politeknik Merlimau, dekat sini semalam.

Anthony yang juga ahli Parlimen Rasah juga berkata, pemuda DAP menyokong penuh pemilihan Yuhaizad dan akan mengerahkan tenaga semaksimum mungkin bagi berkempen untuk Yuhaizad dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, seperti siri pilihan raya kecil yang lepas, pemuda DAP akan menjalankan siri penerangan termasuk ceramah, ziarah rumah ke rumah dan mengedarkan risalah berkaitan tawaran Pakatan Rakyat.

"Seperti pilihan raya yang lepas kita memberikan komitmen yang tinggi sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat dan pemuda DAP bersama DAP pusat akan memberikan sokongan dan bantuan kepada DAP Melaka yang dipertanggunjawabkan untuk membantu kempen pilihan raya kecil ini.

"Kita akan turun bersama dalam siri penerangan, pergi rumah ke rumah dan edar risalah," katanya.

Tambahnya, perkara yang paling penting selain mebantu kemenangan calon Pakatan Rakyat, rakyat di Selatan tanah air perlu diberikan pendedahan mengenai salah laku Umno BN kerana mereka masih terkongkong di bawah pemerintahan BN.

"Apa yang penting kita perlu beri pendedahan kepada rakyat kursusnya pengundi di Selatan Malaysia kerana negeri-negeri ini masih dikuasai BN dan kubu kuat mereka.

"Kita perlu jalankan lebih banyak penerangan, perlu dedahkan mereka dengan maklumat berkiatan kepincangan BN dan perlu menjelaskan dasar-dasar dan komitmen Pakatan Rakyat kerana ada yang masih yang tidak faham mengenai kerjasama Pakatan Rakyat," katanya.

Perkasa di Merlimau bukti Umno lemah

Sementara itu, mengulas mengenai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dilihat turut membantu kempen BN, Anthony berkata ianya membuktikan Umno lemah dan memerlukan bantuan NGO lain untuk meraih sokongan rakyat.

"Kita tak perlu peduli tentang Perkasa kerana kalau Umno memerlukan Perkasa untuk mendapatkan sokongan orang Melayu ini menunjukkkan kelemahan Umno.

Kehadiran Perkasa juga, katanya hanya akan menakutkan orang bukan Melayu khususnya masyarakat Cina.

"Kalau Perkasa memainkan peranan ini akan menakutkan pengundi bukan Melayu kerana kenyataan mereka yang menakutkan dan menyakitkan orang bukan Melayu terutamanya masyarakat Tionghua.

"Kalau mereka memainkan peranan, dari segi undi bukan Melayu akan lebih memihak kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Minggu lalu,Perkasa menganjurkan Program Perdana Perkasa bertajuk 'Membongkar Rahsia Pengkhianat Melayu' di perkarangan rumah seorang penduduk berhampiran Makam Tun Teja, Kampung Pengkalan Samak.

Berucap di ceramah tersebut ialah beberapa penceramah termasuk, Presiden Perkasa Malaysia, Datuk Paduka Ibrahim Ali, Ketua Penerangan, Ruslan Kasim dan Ketua Wira Perkasa Malaysia, Arman Abu Hanafiah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.