Isnin, 28 Februari 2011

Sokongan pengundi Cina bimbangkan PAS?

Chen Shaua Fui, Lim Hong Siang

Ibarat "seni yang memungkinkan kemustahilan" itu sendiri menjelaskan bahawa politik kadang-kala melangkaui "logik". Kemenangan tidak semestinya menjanjikan kesenangan, jikalau tidak dikendalikan dengan baik; sokongan pula tidak semestinya mendukung, tetapi boleh juga meruntuhkan sesebuah parti politik. Demikianlah dilema PAS yang perlu dikendalikan dengan cermat - apabila sokongan Cina terhadap parti ini kelihatan lebih terserlah daripada undi tradisionalnya yang bersumberkan Melayu-Muslim.

Pertama, sesungguhnya PAS melalui Pakatan Rakyat berjaya meraih undi Cina, namun pola pengundian juga menunjukkan penurunan undi Melayu di kawasan desa terhadap PR. Realitinya, kebanyakan calon PAS bertanding di kawasan majoriti Melayu, dan jelas pola pengundian terkini tidak memihak kepada PAS. Keduanya, PAS-PR yang diserang media milikan pemerintah terpaksa meyakinkan Melayu bahawa kepentingan kaum majoriti ini tidak akan tergadai, seandainya PR menawan Putrajaya. Apabila retorik ini terlebih dikumandangkan, ia memberi persepsi kepada masyarakat bukan Melayu bahawa PAS-PR tidak berbeza dengan UMNO-BN.

Malah, peristiwa sejarah parti mungkin menghantui sesetengah pemimpin PAS yang mahu "menasionalkan" partinya. Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menginstitusikan bukan muslim dalam kerangka parti PAS, dikhuatiri mengulangi nasib Chinese Consultative Council (CCC), yang dikambing-hitamkan selepas kekalahan PAS dalam PRU 1986. Presien PAS ketika itu, Yusof Rawa melihat pertikaian terhadap CCC sebagai undi tidak percaya terhadap dirinya, lantas beliau letak jawatan atas nama "prinsip".

Bagaimanapun, beliau berjaya dipujuk untuk menarik balik keputusan itu. Cuma, seperti namanya dalam bahasa hokkien, CCC mati begitu sahaja. Kira-kira dua dekad kemudian, anak Yusof Rawa, Mujahid (gambar kiri) menghidupkan semula jiwa CCC, bertubuhkan Kelab Penyokong PAS - setelah beliau menyandang jawatan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional.

Wawancara bersama Mujahid Yusof dijalankan pada 13 Februari 2011 di ibu pejabat PAS, selepas PAS kecundang dalam PRK Tenang. Penulis buku Menuju PAS Baru - Krisis, Peluang dan Dinamisme ini merungkaikan dilema PAS-Pakatan Rakyat, dalam alam nyata politik tanahair.

Pola pengundian yang tidak menyenangkan PAS

Sokongan bukan Melayu, khususnya komuniti Cina terhadap PAS merupakan lonjakan besar dalam sejarah politik Malaysia. Namun pada masa yang sama, sokongan Melayu tidak memperlihatkan kadar yang sama. Dari perkiraan matematik, DAP paling menguntung kerana bertanding di kawasan majoriti Cina. PKR yang bertanding di kawasan campuran pula, masih menyimpan harapan, seandainya nisbah pengundi Cina agak tinggi, dan terletak di kawasan bandar. PAS yang bertahan di kawasan desa, majoriti Melayu bagaimanapun berdepan dengan kesukaran, apabila diasak UMNO-BN dengan pendirian yang lebih konservatif.

Mujahid enggan berselindung, meluahkan kebimbangannya di sebalik pola yang disifatkannya "menarik" ini. "Membimbangkan, kerana saudara sebut tadi, kerana PAS bertanding dalam kerusi yang banyak Melayu. Itu satu isyarat yang tidak baik. Dan sudah tentu DAP mungkin lebih selesa, untuk mengukuhkan lagi bahawa mereka tidak ada masalah, kerana Cina masih tetap mengundi mereka," katanya.

"Cuma ada kesannya secara menyeluruh kepada Pakatan ialah, DAP sendiri pun tidak mungkin selesa, kalau kita bercakap tentang strategi yang lebih besar, iaitu strategi nak pergi ke Putrajaya. Bahawa bagaimanapun, DAP mengharapkan PAS meningkatkan sokongan undi Melayu, supaya sama-sama kita boleh pergi ke Putrajaya."

Mujahid menyambung, "Dan kita juga berdepan dengan masalah PKR, misalnya masalah dalaman yang pelbagai, yang masih menimbulkan orang tak percaya kepada PKR. Walaupun itu masalah PKR tapi memberi impak kepada Pakatan."

Sebagai penyelesaiannya, Dasar Pakatan Rakyat diketengahkan, untuk meyakinkan rakyat Malaysia, khususnya Melayu bahawa tiga tunggak, iaitu kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan istimewa Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak berubah, seandainya PR menawan Putrajaya.

Melayu belum yakin dengan retorik PR

"Itulah yang saya cadangkan dalam buku saya, iaitu menasionalkan PAS. Makna PAS mesti bergerak dalam kerangka perlembagaan, supaya orang Melayu percaya bahawa apa yang akan tukar nanti, untuk bagi (undi) kepada PAS, dia tidak akan rasa bimbang hilang dia punya hak keistimewaan, Raja-Raja Melayu, dan juga Islam sebagai agama rasmi persekutuan."

Beliau berterus-terang, "Cuma, kerana orang Melayu masih belum yakin lagi dengan retorik kita ini, maka sebab itu saya rasa, termasuk sekali serangan media kepada kita, menyatakan habislah, kalau Pakatan menang, Melayu habis, DAP akan menguasai. DAP anti Melayu, anti Cina blah blah blah..."

Beliau meneruskan, "Orang Melayu buy that (termakan dengan kenyataan sebegitu), they buy that, they buy that. Hingga hari ini, kita belum dapat betul-betul meyakinkan orang Melayu bahawa kalau kami, Pakatan menang, segala hak dan keperluan kamu itu tetap akan terbela dari segi perlembagaan yang ada, dengan memberi satu suntikan baru kepada makna hak orang Melayu tu apa? Tapi persepsi ini masih sukar diubah lagi."

Ia menjelaskan mengapa PAS mengadakan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa, untuk memberi gambaran kepada masyarakat Melayu bagaimana PAS sebagai parti Melayu yang besar, mampu memberi pembelaan yang lebih baik kepada Melayu dalam kerangka PR berbanding UMNO. Misalnya, melalui peningkatan pendapatan isi rumah dari RM1700 setiap bulan kepada RM4000.

Dari kaca mata bukan Melayu: Sama retorik dengan UMNO...

Wartawan MerdekaReview mengambil kesempatan untuk berkongsi pengamatan bahawa PAS, atau PR mungkin berada dalam dilema - sementara menangkis serangan UMNO, PR perlu lebihkan jaminan bahawa hak Melayu dan Islam tidak akan tergadai. Dari kaca mata masyarakat bukan Melayu, ia retorik yang tiada beza dengan UMNO, dan mungkin mencungkil kesangsian terhadap PAS atau PR.

"Kami jelas. Pertama tentang Islam sebagai agama rasmi persekutuan, agama lain bebas untuk diamalkan, artikel ke-11. Kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Malaysia, dan Raja-Raja Melayu. Ini bukan retorik PAS. Ini adalah dokumen persetujuan Pakatan Rakyat. Dap menerimanya!"

Mujahid kemudian meneruskan, "Sejauh mana DAP meyakinkan orang Cina, itu satu soalan juga. Ini dokumen rakyat, dia (DAP) pun kena cakap begitu juga dengan masyarakat Cina. PKR pun kena cakap begitu juga dengan masyarakat Cina. Kami (PAS), bercakap sama juga, ketika saya berjumpa dengan orang Cina. Sebab ini dokumen bersama. Jadi tidak menimbulkan keresahan."

"Dokumen mungkin tidak bermasalah. Tetapi apabila buat program seperti Kongres Pengupayaan Melayu (nama ini digunakan ketika wawancara dijalankan), ia memberi persepsi (kepada bukan Melayu) untuk Melayu saja. Ia sama juga (dengan UMNO)..." jelas wartawan.

DAP cakap pasal Melayu?

Mujahid menafikan, sebelum menjelaskan, "Sebab itu saya pun kena fahamkan juga orang bukan Melayu. Itu saya kata mengapa saya cakap orang Melayu, orang cakap saya rasis. Saya bercakap tentang, apa yang Pakatan perlu tawarkan kepada Melayu. Sebab di Malaysia ni, kamu tak boleh lari dari racial divide. Suka atau tidak, pada masa peralihan ini, saya kata peralihan kerana matlamat kita adalah tiada politik perkauman pada akhirnya."

"Dalam konteks pelbagai kaum yang ada, PAS tidak boleh lari daripada meyakinkan orang Melayu. Kalau tidak, strategi Pakatan akan gagal begitu saja. Kamu tak boleh mengharapkan DAP untuk bercakap kepada Melayu, malah PKR, dalam perkara itu. Melayu hanya akan dengar kepada PAS, kalau mereka mahu dengar, apabila kamu berbicara tentang Melayu."

Wartawan menjelaskan bahawa pertikaian itu adalah "persepsi", lantas Mujahid menjawab, "Persepsi itu hanya timbul apabila MCA bising. Kami tak buat apa-apa dia pun akan bising juga. Jadi, kita tak boleh selalu berada pada kedudukan defensif. Yang penting ialah kejelasan kita."

Mujahid membezakan apa yang sedang dilakukan dalam kerangka PR dengan UMNO, dengan menekankan bahawa wujud ketidakseimbangan kini di mana orang Cina sudah bersedia untuk berubah dan Melayu di sebaliknya. Beliau mengingatkan bahawa PR tidak boleh mara ke depan tanpa keyakinan Melayu terhadap PR.

Maka misi menjelaskan keadaan PR kepada komuniti Cina terletak pada bahu DAP. Ketika ditanya sejauh manakah DAP memainkan peranan tersebut, Muhajid menganggap DAP memang memahami keperluan PAS dalam menghadapi isu Melayu, cuma perkembangan ini sedikit terbantut kerana serangan media.

Beliau mengambil contoh bagaimana DAP membela calon PAS dalam isu salam (berjabat tangan dengan lelaki) ketika PRK Tenang, sesuatu yang menarik untuk Mujahid. PAS sebaliknya, dengan mengambil contoh dirinya sebagai pemimpin di Pulau Pinang, menjelaskan kepada masyarakat Melayu-Islam tentang kejayaan DAP membela orang Melayu di Pulau Pinang.

Tiruan model Barisan Nasional?

Namun, bentuk kerjasama ini mencungkil persoalan seterusnya, sama ada ia satu tiruan (cloning) daripada model Barisan Nasional, dengan UMNO menyasarkan Melayu, MCA menyasarkan Cina dan MIC menyasarkan India?

"Sebagaimana yang saya kata, kami sedang melakukan reformasi terhadap sesuatu yang diterima sebagai norma untuk 50 tahun yang lalu. Kamu tidak dapat mengubahnya dalam masa sehari. Saya percaya ini, kamu tidak dapat mengubahnya hanya sekelip mata," ulanginya.

Mujahid meneruskan, "...terutamanya dalam situasi di mana liputan media adalah tidak bebas, terutama wujudnya kawalan yang ketat terhadap maklumat. Dalam keadaan sebegini, kami tidak boleh mengharapkan revolusi. Jadi, seandainya kamu bertanya kepada saya, adakah ini tiruan kepada amalan BN selama ini, saya akan kata tidak."

"Ini bukan tiruan, ini adalah realiti yang terpaksa kita hadapi sebelum kita boleh melakukan apa-apa reformasi yang menyeluruh (total reform), dengan menghapuskan politik perkauman," tegas Mujahid, "...dan saya sebagai ahli politik, mungkin berbeza dengan kamu sebagai idealis. Sebab kami berada di gelanggang. Kami berdepan dengan realiti. Betapa ideal menjadi panduan kami sekalipun, saya perlu realistik. Sekali lagi, saya ulang, apapun retorik yang kami ungkapkan, 'Ubah sekarang, Maju ke Putrajaya', apapun retorik itu, racial divide masih di sana apabila kamu turun ke gelanggang."

Berdepan dengan realiti

Apabila bercakap tentang realiti, Mujahid tanya, "Bolehkah DAP bercakap kepada orang Melayu, tentang pengupayaan orang Melayu, siapa nak pergi dengar?"

Suasana menjadi senyap sejenak selepas soalan itu dilontarkan, sebelum gelak ketawa daripada wartawan bersama Mujahid mengisi udara. Sambil menahan ketawa Mujahid bertanya, "Ini realpolitik kah?"

Beliau menyusul jenakanya, dengan meniru cara pertuturan orang Cina, "Bolehkah PAS, pergi buat satu konvensyen orang Cina, bagi tahu berniaga macam mana, orang Cina maju. (Orang akan kata) Gila punya oranglah..."

Mujahid kembali kepada persoalan, "Saya mungkin menyetujui kamu dengan idealisme. Saya harap sebelum saya meninggal dunia saya sempat melihat Malaysia tanpa perpecahan kaum (racial divide). Sebagai seorang Malaysia, saya berharap saya dapat tutup mata dalam keadaan tersebut. Namun, sebelumnya, saya perlu berhadapan dengan apa yang ada di depan saya."

Semuanya bermula dari retorik

Mujahid mengambil contoh penubuhan DHPP sebagai langkah PAS ke depan untuk membuktikan bahawa parti ini bukan rasis. Bagaimanapun, DHPP mencungkil pertanyaan wartawan, bahawa ia dilihat lebih mengutamakan form (bentuk) dan bukan intipati, malah mungkin "superficial".

"Saya mungkin bersetuju dengan kamu. Apa-apa yang kamu lakukan pada peringkat awal, adalah superficial. Come on, this is an Islamic Party, man!...for the past 50 years. Dengan adanya bukan muslim di situ, sama ada superficial atau tidak, bagi saya adalah sesuatu yang belum pernah berlaku. Kamu boleh kata itu superficial, apa-apa sahaja... tetapi ia satu transformasi PAS untuk menjadi sebuah parti yang mempunyai sayap bukan muslim. Dan tahukah kamu, ia badan yang halal (legitimate body), bukan badan yang tidak diiktiraf. Ia mempunyai peraturannya sendiri, bagaimana ia dikaitkan dengan parti..."

Mujahid merendahkan nadanya, "Pada tahap ini, dengan umur... baru (tahun) 2009 kita lancarkan, jadi umurnya sekarang baru setahun. Saya boleh fahamlah kalau orang kata ini retorik, tetapi semua benda bermula dengan retorik. Sebagai orang di sebalik semua ini, saya boleh menjamin kepada kamu, apa yang menjadi keprihatinan dan tujuan saya, adalah untuk membuktikan kepada orang Malaysia bahawa PAS melangkaui pertimbangan batas perkauman. Pada hakikatnya, saya harap mereka menjadi anggota penuh parti. Sekali lagi, realiti!"

Mengulangi nasib CCC?

Mengungkit DHPP, ia semestinya mencungkil ingatan Mujahid terhadap usaha yang dimulakan ayahandanya, Allahyarham Yusof Rawa dengan penubuhan CCC pada tahun 1980-an. Mujahid mengakui bahawa dirinya sekadar melanjutkan idea CCC, yang dibubuh noktah hayatnya, dalam tempoh yang singkat.

Yusof Rawa membuka lembaran Kepimpinan Ulamak apabila mengambil alih kepimpinan PAS pada tahun 1983. Bermula dengan konsep "keadilan untuk semua" di bawah Islam, Yusof Rawa cuba menerokai undi Cina, atau sekurang-kurangnya menjangkau komuniti ini meskipun tidak mendapat sokongan daripada mereka. Kebetulan MCA bergelut dengan krisis dalamannya pada tahun 1980-an, dan beberapa anggota MCA datang berjumpa dengan PAS. CCC ditubuhkan, dan beberapa orang bertanding di atas tiket CCC, yang merupakan sebahagian daripada PAS.

Bagaimanapun, usaha ini gagal, dan dijadikan alasan PAS kecundang di kawasan Melayu. "Kita kalah teruk dalam Melayu sendiri, salah satu alasan yang dia kata, ini sebab CCC-lah. Sebab orang Melayu sudah tak percaya sama PAS, orang PAS sudah baik dengan orang Cina. Jadi hilang undi Melayu," Mujahid menceritakan apa yang diperdebatkan ketika itu. Lebih menarik, pemimpin yang membawa usul untuk menolak CCC pada ketika itu adalah Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam hari ini.

Usul Khalid Samad (gambar kiri) dilihat sebagai undi tidak percaya terhadap kepimpinan Yusof Rawa, yang meletak jawatan kemudiannya. Bagaimanapun, beliau dipujuk untuk menarik balik keputusan tersebut, dan memimpin PAS selaku Presiden sehingga tahun 1989.

Kisah lama ini mengundang soalan berbunyi, apakah PAS kini memiliki keyakinan dalam dirinya - memandangkan PAS pernah menyalahkan CCC kerana kononnya menyebabkan kekalahannya di kawasan Melayu, dan adakah DHPP akan mengulangi nasib CCC, jikalau PAS tewas dalam PRU akan datang?

"Kita berdepan dengan keadaan yang sama. Orang PAS bawah pun ada yang tidak faham. Tapi, memandangkan ia adalah keputusan pimpinan, dan saya telah memberi penjelasan di merata-rata kepada anggota PAS, (tentang) mengapa perlunya orang Cina dan sebagainya..."

Beliau menambah, "Lagipun saya menyatakan, kalaupun kita tidak mendapat undi semata-mata kerana Dewan ini, tetapi sekurang-kurangnya mereka memahami dasar PAS, sudah cukup bagi saya. Saya rasa pada ketika ini kami tidak berhadapan lagi dengan masalah, sebab sekarang kita masih mampu reserve undi Melayu yang ada, walaupun sikit menurun. Tapi pada waktu yang sama juga kita telah melihat peningkatan undi orang Cina kepada PAS."

"Saya tidak menyatakan bahawa ini semua disebabkan oleh Dewan Himpunan (Penyokong PAS). Saya tidak menganggap begitu. Ia banyak berkaitan dengan senario, misalnya DAP, dan orang Cina tidak suka dengan regim racial ini. Tapi kamu mesti faham, bahawa apa yang beri ruang kepada kami...jadi apakah cara untuk sampai kepada mereka? Dewanlah! 0.5% pun saya rasa banggalah, itu sumbangan saya," katanya. (Bahagian pertama, bersambung)

*Wawancara ini dijalankan oleh Chen Shaua Fui (Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina) dan Lim Hong Siang (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia) di ibu pejabat PAS pada 13 Februari 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.