Fadzly Esa
Sebuah NGO mewakili pemilik unit rumah terbengkalai akhirnya berjaya mendaftarkan pertubuhan itu dengan nama Persatuan Pemilik Bangunan Terbengkalai Malaysia (Victims) setelah berusaha berbuat demikian sejak lima bulan lalu.
Pengerusi Victims Dr Mohd Rafick Khan Abd Rahman berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah meluluskan permohonan daftar pertubuhan secara rasminya pada 19 Januari lalu.
Mohd Rafick berkata, beliau terpaksa mengisi semula borang permohonan untuk mendaftar pertubuhan itu pada 8 Februari lalu, apabila ROS tidak memberi jawapan ke atas permohonan pertama yang dibuat pada September.
"Tidak sampai dua minggu selepas (8 Februari), saya terkejut apabila menerima surat maklum balas daripada ROS bertarikh 21 Januari meluluskan pendaftaran pertubuhan ditandatangani Pendaftar ROS yang baru, Datuk Abdul Rahman Othman," katanya ketika dihubungi Komunitikini, hari ini.
Pertubuhan berkenaan sebelum ini cuba didaftarkan dengan nama Abandoned Property Owners Malaysia (Victims) namun ditolak oleh jawatankuasa ROS yang mendapati nama persatuan itu "mengelirukan."
Ditanya mengenai rancangan masa depan serta hala tuju persatuan itu, Mohd Rafick berkata masih terlalu awal untuk menyatakannya buat masa ini.
Jelasnya, Victims masih memerlukan dana serta sokongan mangsa rumah terbengkalai seluruh negara untuk menggerakkannya.
"Sehingga kini lebih kurang 50 pemilik rumah terbengkalai menyertai persatuan," katanya merujuk penyertaan mesyuarat agung kali pertama diadakan di Ampang baru-baru ini.
Bagi pemilik rumah terbengkalai berminat menjadi ahli, Mohd Rafick berkata mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran dan tahunan sebanyak RM10 setiap bulan manakala yuran keahlian seumur hidup RM100 setahun.
"Individu yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut maklumat dan borang permohonan ahli boleh menghantar e-mel ke alamat info.victims@gmail.com," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.