Selasa, 1 Februari 2011

Rakyat terkejut , pengundi Umno gembira petrol naik

PASPB

Petrol Naik: Rakyat Terima Kejutan Berterusan- CASSA

SHAH ALAM .: Rakyat Malaysia menerima kejutan secara berterusan apabila harga petrol RON97 dinaikkan sekali lagi dalam tempoh sebulan.

Dengan kenaikan terbaru ini, harga petrol tersebut menjadi RM2.50, naik 10 sen berbanding sebelum ini.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George ketika dihubungi Tv Selangor melahirkan rasa terkejutnya dengan kenaikan kali keempat berturut-turut itu dan menggesa pihak kerajaan segera berpegang kepada janji yang dilafazkan sebelum ini.

"Bila kenaikan pada 4 Januari, kenyataan telah diberi, tidak ada lagi kenaikan dalam tempoh masa yang singkat. Masyarakat sudah menerima itu, tetapi setelah mereka menerima, ini menjadi kejutan berganda. Melalui kajian yang dilakukan daripada pengguna-pengguna, mereka katakan selepas ini kita tidak boleh terima lagi kenyataan-kenyataan kerajaan," tegas Dr Jacob.

Katanya, tindakan kerajaan yang secara sembunyi-sembunyi menaikkan harga RON97 memberikan implikasi besar kepada pengguna.

Walaupun rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan petrol dari jenis RON95, kenaikan RON97 akan tetap memberi kesan kepada pasaran negara.

"Pada pandangan saya, bila kenaikan ini dibuat mesti akan memberikan kesan kepada kenaikan harga-harga barangan lain seperti dalam sektor perkhidmatan. Sama ada kita suka atau tidak, ia tentu ada kesannya.

"Tolong berikan satu kenyataan contohnya seperti dalam satu tahun berapa kali kita naik, bagi tarikh.Tidak perlu sembunyi-sembunyi. Tindak balas yang kita terima sekarang dari masyarakat umum ialah kenapa kenaikan diumumkan dengan cara sembunyi?," tegas Dr Jacob lagi.

Malah tambahnya, tindakan kerajaan itu mengakibatkan rakyat mula tertanya-tanya dan membuat pelbagai spekulasi sama ada kerajaan Malaysia menghadapi masalah kewangan sehingga memaksa harga barangan-barangan tertentu dinaikkan.

Harga RON97 mula dinaikkan sejak tahun lalu kepada RM2.15 pada November, kemudian meningkat kepada RM2.30 pada 1 Disember dan terus meningkat kepada RM2.40 pada 4 Januari lalu.

Kerajaan kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa kenaikan tidak akan berlaku dalam tempoh beberapa lama.

Sementara itu, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli berkata, kenaikan secara berterusan terhadap petrol RON97 mengakibatkan kuasa beli rakyat kepada petrol jenis itu semakin mengecil dan hanya mereka yang berkemampuan dapat menikmati produk yang berkualiti itu.

"Persoalannya, apakah rakyat Malaysia ini hanya diberikan pilihan-pilihan yang berkualiti rendah, oleh kerana kualiti yang baik itu terlalu jauh bezanya sampai harga itu tidak termampu kepada orang biasa. Jadi kelihatannya kerajaan membuat struktur harga sedemikian rupa sampai orang awam, orang biasa, memang tidak akan mampu untuk merasa nikmat barangan yang lebih baik," kata Hatta kepada Tv Selangor.

Oleh kerana RON97 diapungkan harganya sejak tahun lalu mengikut pasaran antarabangsa, ia lebih menghairankan kata Hatta apabila di Malaysia, harganya terus meningkat tanpa berlaku sebarang penurunan.

Sepatutnya kata Hatta, harga yang diapungkan lebih mudah dikawal kerana sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia berkeupayaan berbuat demikian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.