Sabtu, 26 Februari 2011

Pentadbir universiti jangan jadi tali barut Umno

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan pentadbir universiti jangan menambahkan lagi keahlian dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Justeru, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) meminta pentadbir universiti tidak menjadi tali barut Umno BN di negara ini.

Di luar kampus, katanya demokrasi berada di padang yang tidak sama kerana SPR yang menjadi budak suruhan Umno.

“Jangan cemarkan menara ilmu dengan bersikap seperti jawatankuasa kampung Umno yang melakukan diskriminasi kepada penyokong pembangkang ketika memberi subsidi beruk dan baja,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pembatalan keputusan 11 kerusi Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putera Malaysia daripada Pro Mahasiswa merupakan sejarah hitam dan tindakan yang melampau.

PAS, katanya ingin mengingatkan kepada pihak universiti bahawa mahasiswa bukan manusia yang boleh dicucuk hidung kerana mereka ialah insan yang terpilih di kalangan 27 juta rakyat di negara ini.

“PAS hendak menasihatkan pihak pentadbir tumpulah kepada usaha untuk mengangkat darjat ilmu di menara gading.

“Universiti perlu fokus kepada tugas melahirkan generasi yang berilmu dan beramal untuk berbakti kepada agama dan negara,” ujarnya lagi.

Menurutnya, jika universiti tidak fokus kepada tugas hakiki, maka jadilah seperti polis yang sepatutnya menjaga keselamatan dan membanteras jenayah sebaliknya telah menumpu kepada aktiviti pembangkang.

Kesannya, kata beliau jenayah meningkat dan keselamatan sosial tidak selesa.

Tambahnya lagi, tindakan berani mahasiswa yang bertindak membantah ketidakadilan Hal Ehwal Pelajar patut disanjung dan disokong.

“Inilah bahasa yang boleh difahami oleh orang suruhan Umno di universiti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.