Rabu, 2 Februari 2011

Indonesia hantar pesawat pindah rakyatnya dari Mesir

BERNAMA

JAKARTA — Berikutan krisis politik yang kian meruncing di Mesir serta suasana tegang dengan ancaman demonstrasi lebih sejuta orang di Kaherah Selasa, Indonesia menghantar sebuah pesawat sewa khas untuk memindahkan rakyatnya yang berjumlah 6,200 orang dari negara itu.

Pesawat Garuda Boeing 747 itu akan memindahkan kumpulan pertama berjumlah 428 orang sebaik sahaja ia mendapat kebenaran mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kaherah.

Operasi pemindahan itu dijalankan atas arahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

“Situasi politik di Mesir semakin buruk dan boleh mengancam keamanan serta keselamatan saudara-saudara kita di Mesir,” kata Susilo di Jakarta.

Sejumlah pesawat dari beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Jerman, Iraq, Britain, India, Portugal, China, Kanada, Azerbaijan, Denmark dan Turki dilaporkan turut menunggu giliran mendapat kebenaran mendarat di Kaherah untuk memindahkan rakyatnya.

Menteri Luar Dr Marty Natalegawa berkata pesawat sewa khas itu berlepas tengah malam tadi dan mendarat di Jeddah, Arab Saudi, sementara menunggu kebenaran mendarat di Kaherah.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Kusuma Habir pula berkata warga Indonesia di Mesir berjumlah 6,149 orang, dan daripada jumlah itu 4,297 orang adalah pelajar dan selebihnya ialah tenaga kerja Indonesia di Mesir.

Sementara itu media tempatan melaporkan bahawa sebilangan pelajar Indonesia di Mesir enggan dipindahkan mungkin kerana bimbang kehilangan kemudahan di universiti atau tidak mempunyai cukup wang untuk kembali ke Mesir bila keadaan kembali aman.

“Sebagian besar yang menolak adalah mahasiswa yang mendapatkan biasiswa,” kata Ketua Bahagian Direktorat Timur Tengah Kementerian Luar Negeri, Bambang Purwanto, seperti dipetik portal berita VIVAnews.com, Selasa.

Selain pesawat penerbangan Garuda, dua syarikat penerbangan lain dari Indonesia iaitu Batavia Air dan Lion Air akan menyusul terbang ke Kaherah dengan pesawat Boeing 747 untuk operasi pemindahan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.