Selasa, 1 Februari 2011

Bukan Melayu dilarang buat liputan wacana Mahathir

KUALA LUMPUR — Penganjur wacana yang dihadiri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta editor organisasi media supaya hanya menghantar pemberita dan krew televisyen kalangan Melayu untuk membuat liputan majlis tersebut.

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mengadakan wacana bertajuk “Kaum Melayu dan Masa Depan” di Memorial Tun Hussein Onn di sini petang ini.

Seorang pemberita keturunan India dari portal berita Malaysiakini dilarang daripada memasuki dewan wacana dan kemudian tidak dibenarkan menghadiri sidang media.

Seorang wakil jawatankuasa penganjuran memberitahu pemberita bahawa Dr Mahathir tidak mahu portal berita membuat liputan majlis tersebut.

Bagaimanapun pegawai bekas perdana menteri itu menafikan arahan sedemikian dikeluarkan oleh pihaknya.

Apabila wakil itu didampingi sekali lagi berkata dia menerima arahan peringkat atasan.

“Kami menerima arahan peringkat atasan. Kami tidak mahu sebarang kontroversi daripada majlis ini,” katanya.

Apabila ditanya sama ada pemberita itu dilarang kerana faktor kaum, wakil itu beredar tanpa mengulas lanjut.

Mubarak ditubuhkan bagi menjaga silaturrahim dan merapatkan hubungan sesama bekas wakil rakyat di Malaysia. Ahlinya adalah kalangan wakil rakyat Barisan Nasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.