Selasa, 1 Februari 2011

'Anak saya di Mesir tidur 'berteman' pisau

BERNAMA

Bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka di Mesir, beberapa ibu bapa pelajar hari ini mendesak kerajaan mengambil tindakan segera bagi membawa pulang anak mereka ke tanahair.

Seorang bapa, Salahul Ahmad Jamal Mohd berkata anaknya Nurul Firdaus, 18, yang kini menuntut di Mansura, memberitahu yang dia terpaksa tidur bertemankan pisau kerana bimbang dengan keadaan yang semakin tidak terkawal.

"Anak saya kini berada dalam keadaan ketakutan...sehingga terpaksa mengenggam pisau demi keselamatan diri dengan bertambahnya kejadiaan pecah rumah, manakala golongan banduan yang melepaskan diri dari penjara pula
bermaharajalela tanpa tindakan dari pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Bernama di ibunegara.

Melihat pada keadaan sekarang, Salahul berkata sewajarnya kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengeluarkan pelajar Malaysia dari negara terbabit.

"Pelajar-pelajar ini adalah bakal pemimpin negara, bertindaklah cepat... jangan nak tunggu nyawa melayang baru nak hantar bantuan...ini bukan soal duit yang penting nyawa anak-anak kami paling utama," katanya.

Sejak Selasa lepas beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

Sementara itu, Rohana Abdul Rahman, ibu kepada Hanan Amira Hashim, 22, berkata beliau bimbang talian komunikasi di negara terbabit akan terputus.

"Sekiranya talian telekomunikasi terputus, ini akan menyukarkan kami (ibu bapa) untuk berhubung dengan mereka," katanya.

Beliau juga berharap kerajaan memberi lebih tumpuan kepada kawasan di Mansura yang agak jauh jika dibandingkan dengan Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta dan Iskandariah.

"Tindakan segera perlu...jika tidak nyawa anak-anak kami berada dalam keadaan bahaya dengan masalah jenayah jalanan,pecah rumah dan banduan semakin 'bebas' di mana-mana sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.