Khamis, 27 Januari 2011

Umno mahu waspada taktik akhir PAS, kata ketua penerangan

BERNAMA

LABIS — Petugas pilihan raya Barisan Nasional (BN) dan pengundi diingatkan agar berwaspada dengan taktik PAS menjelang dua hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada Ahad nanti.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata parti tersebut akan menggunakan pelbagai cara pada saat-saat akhir demi memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

“Terdapat banyak kemungkinan apa yang akan mereka lakukan kerana terdesak seperti menabur risalah-risalah bagi mengelirukan pengundi.

“Oleh yang demikian kita mahu para petugas agar bekerja sehingga ke saat akhir agar kubu masing-masing tidak ditembusi oleh anasir-anasir sedemikian,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Skuad Sayang anjuran Wanita Umno di Felda Chemplak Barat di sini hari ini.

Ahmad Maslan turut mengingatkan generasi muda Felda agar tidak terpesong dengan dakyah PAS kononnya BN tidak pernah berjasa kepada masyarakat Felda.

“Kerajaan yang dibentuk Barisan Nasional yang menubuhkan Felda telah mengadakan sekolah, universiti dan peluang-peluang pekerjaan kepada generasi muda.

“Jangan anggap itu bukan jasa Barisan Nasional dan kejayaan yang dikecapi generasi muda tidak datang atas usaha mereka sendiri tetapi dengan secara langsung atau tidak langsung dengan bantuan kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Sebelum itu, Ahmad Maslan menyampaikan barangan keperluan dapur kepada 41 ibu tunggal Felda tersebut disamping beramah mesra memasak bubur lambuk bersama mereka.

Program itu dianjurkan Wanita Umno bagi merapatkan lagi hubungan Umno dengan penduduk Felda Chemplak Barat itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.