Jumaat, 28 Januari 2011

Tenang dan Doktrin Keramat UMNO

Hafiz Zainuddin

Saya tidak dapat membuat sebarang tilikan awal siapa yang bakal memenangi PRK Tenang. Saya cuma percaya; keajaiban boleh berlaku di mana-mana. Lihat saja apa yang berlaku di PRK Sibu, Pakatan Rakyat yang diwakili DAP telah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 398 undi! BN gagal mempertahankan kerusi Sibu. Kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu menunjukkan penolakan besar rakyat terhadap BN. BN terjun dengan labu-labunya di Sibu.

Mari kita membuat sedikit analisa ringkas. Sibu dan Tenang berbeza. Kedua-duanya terpisah dari sudut geografi dan pembangunan. Sibu adalah sebuah kawasan Parlimen manakala Tenang adalah kawasan DUN. Selain itu, Sibu dilihat sebagai salah sebuah bandar yang sedang pesat membangun di Sarawak manakala Tenang adalah sebuah kawasan "pekan" kecil yang aman. Malah teh tarik di Sibu berbeza dengan teh tarik di Tenang.

Dari sudut jumlah pengundi, hampir 67% pengundi di Sibu terdiri dari keturunan Cina manakala hampir 50% pengundi di DUN Tenang berketurunan Melayu. Sentimen politik, gaya hidup dan cara berfikir dipisahkan dengan kedudukan geografi dan populasi kaum. Ia adalah satu perbezaan yang amat ketara.

FELDA dikatakan sebagai kubu kuat bagi BN. Dikatakan "kebal" dari sebarang perubahan. Mungkin FELDA ini "dilihat" sebagai sebuah badan yang memberi kebajikan kepada rakyat terutamanya orang-orang Melayu. Perjuangan FELDA sama ada dilihat ikhlas atau tidak ikhlas sekurang-kurangnya telah mengeluarkan sebahagian rakyat Malaysia yang menetap di kawasan pedalaman dan kampung dari belenggu kemiskinan.

Secara umumnya, ia tidak lain dan tidak bukan adalah atas usaha dan dasar yang telah diasaskan oleh kerajaan yang ditadbir oleh BN sejak sekian lamanya. Siapa yang mahu pertikaikannya? Itu soal lain. Saya melihat; sudah tentu acuan pemikiran di FELDA jauh sama sekali berbeza dengan acuan pemikiran masyarakat di Bangsar contohnya.

Catatan terpenting yang perlu diambil perhatian oleh Pakatan Rakyat dari Pilihanraya Umum 12 ialah pengundi Melayu secara umumnya masih bersama BN. Analisa menunjukkan swing undi pengundi Melayu adalah 5% berbanding 20% dari pengundi Cina dan 30% dari pengundi India. Swing dan mood pengundi ketika ini kebanyakannya disebabkan oleh isu. Persoalan "Dasar" bagi saya cuma teori dan terlalu subjektif.

Saya pernah berkata di dalam artikel terdahulu bahawa akses kepada informasi alternatif seperti internet dan tabloid politik boleh masuk dengan mudah ke mana sahaja. Ya. Ia benar; tetapi bagaimana dengan penerimaan masyarakat Melayu yang menetap di kampung dan FELDA? Sehinggakan aqidah politik sebahagian besar masyarakat kampung rata-rata masih berkiblatkan UMNO-BN? Apakah "guna-guna" yang telah UMNO calitkan selama ini? Apakah mitos keramat di sebalik songkok tinggi dan "keris sakti" sehingga UMNO dilihat kebal di kawasan kampung yang majoritinya Melayu? Jawapan kepada permasalahan ini saya fikir, tidak lain tidak bukan adalah struktur sejarah dan kebudayaan Melayu itu sendiri sebermula zaman kesultanan Melayu Melaka lagi.

Sepertimana yang diungkapkan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang bahawa Melayu sebagai "setia dan sabar tanpa sempadan". Kesetiaan ini tiada kaitannya dengan Islam yang datang membawa mesej keadilan dan kesaksamaan. Kesetiaan ini telah wujud lebih lama sejak munculnya feudalisme di nusantara ini. Kesetiaan dalam masyarakat melayu telah diprogramkan dengan doktrin-doktrin tertentu sehingga kelihatan bercantum dengan DNA mereka.

Kedudukan Raja atau Sultan pada waktu itu dikeramatkan. Penuh mitos dan magis! Sepertimana apa yang dianggap kepada Maharaja China sebagai Wakil Tuhan (Son of Heaven) di muka bumi. Doktrin Keramat inilah yang menjadikan salah satu sebab Melayu boleh "setia dan sabar tanpa sempadan". Perubahan zaman menuntut perubahan segala-galanya. Walaupun kedudukan raja bukan lagi bersifat mutlak, tetapi faham feudalisme masih tetap berakar umbi yang akhirnya memenjarakan minda! Doktrin Keramat cuma bertujuan management. Memudahkan urusan pentadbiran Istana berjalan lebih baik tanpa soal lagi. Sebab itu Hang Jebat dianggap derhaka!

Sedikit sebanyak, faham feudalisme ini berjaya dengan cemerlang digarapkan oleh UMNO sebagai tangkal. UMNO telah mempromosikan diri mereka sebagai "sultan" yang perlu ditaati. Tanpa UMNO; umat Melayu akan musnah ditimpa "daulat". Ini adalah doktrin keramat yang memenjarakan minda. Ini adalah doktrin yang sangat kuat dipegang terutamanya di kampung-kampung dan FELDA. Untuk masa depan yang lebih menjamin kebahagiaan. Masyarakat Melayu perlukan satu revolusi minda sebagai sebuah langkah ke hadapan. Dan...tidak hanya sibuk dengan MLM misalnya.

Saya tidak pasti sama ada banjir yang melanda DUN Tenang baru-baru ini adalah sebuah petanda buruk buat BN atau tidak. Yang saya pasti adalah penyelewengan dalam pentadbiran FELDA memang wujud. Laporan Harakahdaily pada September 2010 menyatakan Mahkamah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan FELDA perlu membayar RM23,800 kepada 10 peneroka FELDA Sungai Koyan 2 dan 3 yang dinafikan hak mendapat bayaran tanam semula.

Selain itu; Mahkamah Persekutuan juga memberi arahan kepada FELDA untuk menyerahkan RM11 juta kepada 354 peneroka di FELDA Kemahang 3, Kelantan ekoran isu manipulasi penggredan kelapa sawit pada tahun lepas. UMNO dilihat mendominasi FELDA. Apakah bukti penyelewengan dan salah guna kuasa FELDA ini tidak membuka mata masyarat FELDA itu sendiri?

Kita serah kepada rakyat khususnya pengundi di DUN Tenang ini untuk menilai. Keputusan PRK DUN Tenang ini akan menjadi kayu ukur. Sekiranya berlaku peningkatan undi dari masyarakat FELDA kepada Pakatan Rakyat, ia beerti BN semakin tenggelam dan dimakan "daulat"-nya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.