Isnin, 31 Januari 2011

STAM: 4,138 calon peroleh sijil dengan pangkat Maqbul

BERNAMA

PUTRAJAYA— Seramai 4,138 atau 63.3 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, 413 calon memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dengan 50 daripadanya mendapat gred cemerlang dalam kesemua 10 mata pelajaran, 804 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik) dan 1,961 Jayyid (baik) dan selebihnya Maqbul.

Meskipun terdapat penurunan jumlah calon yang memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang), terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan iaitu pertambahan sebanyak 196 orang, Jayyid (554 orang) dan Maqbul(259) berbanding 2009, katanya ketika mengumumkan analisis keputusan STAM 2010 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata kesemua calon yang memperoleh sijil layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan atau ke Universiti Al-Azhar di Mesir.

“Seramai 3,178 calon yang mendapat pangkat Mumtaz hingga Jayyid layak memohon untuk melanjutkan pelajaran Universiti Al-Azhar,” katanya.

Sebanyak 10 mata pelajaran ditawarkan kepada calon STAM yang meliputi bidang bahasa, sastera Arab, syariah dan usuludin.

Abdul Ghafar berkata pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam yang meletakkan STAM setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah menarik minat lebih ramai calon untuk menduduki peperiksaan itu pada tahun lepas iaitu 6,537 orang berbanding 4,694 calon pada 2009.

“Kita melihat lebih ramai calon tahun ini berjaya mendapat sijil berbanding tahun sebelumnya. Kejayaan mereka membuka lebih ruang dan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Calon yang tidak berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian untuk sebarang mata pelajaran yang kurang memuaskan.

Mereka diberi peluang untuk mendaftar bagi menduduki semula peperiksaan itu pada 31 Mac ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.