Khamis, 27 Januari 2011

Peneroka Felda Sendayan peroleh afidavit harga pengambilan tanah

Afidavit tersebut mengandungi butiran latar belakang tanah milik peneroka Felda Sendayan dan nilainya sebelum diambil oleh kerajaan Negeri Sembilan secara paksa.


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menerima rayuan permohonan afidavit 16 peneroka Felda Sendayan, Negeri Sembilan untuk dikemukakan dalam perbicaraan penuh berkaitan kes tuntutan pampasan pengambilan tanah mereka di Mahkamah Tinggi Seremban.

Afidavit tersebut mengandungi butiran latar belakang tanah milik peneroka Felda Sendayan dan nilainya sebelum diambil oleh kerajaan Negeri Sembilan secara paksa dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 untuk tujuan pembangunan.

Panel Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Nihrumala M K Pillay dan Datuk Ramly Ali dalam penghakimannya berkata mana-mana pemohon (peneroka) mempunyai hak untuk memasukkan keterangan dan bukti sendiri dalam kes mereka.

“Ini negara demokrasi. Tiada sesiapa yang boleh menghalang pemohon untuk memasukkan butiran keterangan dan bukti dalam permohonan kes mereka sendiri,” kata Suriyadi.

Sehubungan itu hakim memerintahkan responden, Pentadbiran Tanah Seremban yang diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Datuk Ishak Suhaimi membayar kepada mahkamah kos pengurusan sebanyak RM20,000.

Rayuan terbabit dikemukakan setelah Mahkamah Tinggi Seremban pada 3 November tahun lalu menolak permohonan afidavit tersebut yang difailkan dalam kes menuntut bayaran pampasan seluas kira-kira 9 ekar tanah bagi setiap peneroka dengan kadar minimum RM3 kaki persegi.

“Kita mahu kemukakan bukti bahawa harga asal tanah mereka adalah RM3 bagi setiap kaki persegi dan bukannya lebih rendah daripada apa yang ditawarkan kerajaan negeri sekarang,” kata peguam yang mewakili peneroka, Faiz Fadzil ketika ditemui pemberita diluar mahkamah.


Katanya, peneroka kini peluang berpeluang besar memenangi kes di Mahkamah Tinggi Seremban memandangkan afidavit tersebut penting bagi mereka untuk kemukakan tuntutan bayaran yang lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan kerajaan negeri, iaitu antara RM1.70 sen sehingga RM1.90 bagi setiap kaki persegi.

“Afidavit ini nanti akan difailkan dalam pengurusan kes yang ditetapkan di Mahkamah Tinggi Seremban 7 Februari depan,” katanya.

Salah seorang peneroka, Daud Idris berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) pada tahun 1996 mahu mengambil setiap sembilan ekar tanah – tujuh ekar tanaman getah dan dua ekar kelapa sawit - untuk projek industri aeroangkasa dengan jumlah nilai kira-kira RM1.2juta, namun dibantah.

Sepuluh tahun kemudian, Menteri Besar Incorporated (MBI) mengambil alih pengurusan tanah daripada PKNNS dan menukar cadangan mahu membangunkan tanah terbabit kepada projek perumahan dan perindustrian.

“MBI menawarkan kami pampasan dengan harga yang sama seperti yang ditawarkan PKNNS dulu, tapi dengan bentuk sebuah banglo bernilai kira-kira RM200,000, dua ekar tanah perindustrian bernilai RM200,000 setiap ekar), serta wang tunai RM400,000 tetapi kami tetap tolak kerana mendapati wujud unsur penipuan dalam pampasan itu,” katanya.

Disebabkan keengganan sekumpulan peneroka itu, Daud berkata kerajaan negeri akhirnya menggunakan APT 1960 memaksa mereka menjual tanah mereka dengan harga yang lebih rendah seperti yang pernah ditawarkan dulu dan dipaksa menerima deposit pampasan sebanyak 10 peratus.

“Disebabkan kemelut ini, ada antara kami yang kehilangan pekerjaan sejak 10 tahun lalu,” kata Daud.

Sementara itu, Faiz berkata walaupun kerajaan mempunyai hak menggunakan APT 1960 mengambil tanah peneroka, tetapi tiada peruntukan dalam akta terbabit yang memberi kuasa mandatori kepada kerajaan negeri menentukan harga pampasan tetap bagi setiap tanah yang diambil.

“Harga tanah mereka sebenarnya boleh mencecah sehingga RM5.76 kaki persegi mengikut pasaran swasta. Jadi tidak adil bagi peneroka ini jika mereka terima harga yang ditawarkan kerajaan negeri sekarang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.