Jumaat, 28 Januari 2011

Peneroka di Tenang perlu jadi ’superman’

M Faqih (mfaqihfikri@yahoo.com)

TIDAK payah untuk menjangka siapa yang akan menjadi juara di Tenang Ahad ini. Kalau anda baca media harian Melayu, nampaknya calon Barisan Nasional (BN) boleh menang mudah.

Sebaliknya kalau kita baca akhbar oposisi dan media baru, kedudukan BN pula kelihatan tergugat.

Itu resepi mudah untuk mengetahui pemenang dalam setiap perlawanan pilihan raya di tanah Malaya. Soal kerajaan pusat lawan parti politik jarang orang ambil kisah.

Samalah seperti beribu kali kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) - tidak wujud pengundi hantu. Sedangkan dalam satu rumah terbukti ada didaftar sehingga 70 pengundi, namun ia tidak dikira pengundi hantu.

Ada pemilih baru menggunakan alamat wakaf di kubur pun tidak dikira sebagai pengundi hantu. Inilah tabiat di sebalik tabir SPR sejak dahulu sehingga akhir zaman.

Kalau ada sedikit rasa insaf apabila kontrak perkhidmatan tidak disambung lagi. Tengok apa yang berlaku ke atas bekas pengerusi SPR sebelum ini. Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berlainan nada sekarang.

Begitu juga kalau diconggak dengan pendirian politik pengundi Melayu. Kawasan Felda lagi ’prior’ kemelayuan mereka.

Orang Melayu seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, mudah lupa. Ketika harga barang keperluan harian naik, mereka marah. Ketika harga sawit merundum mereka mengeluh.

Ketika hendak bayar yuran anak sekolah, mereka garu kepala. Namun ingat.. mereka lupa segalanya itu ketika ada orang datang ke rumah bawa kain pelikat, atau duit warna kelabu.

Manek Urai dan Galas

Sejarahnya berlaku di Manek Urai pada Julai 2009 dan Galas pada November 2010. Orang Melayu Kelantan dikatakan orang ada ideologi, namun jadi haru biru angkara ’sedekah’ pilihan raya.

Mungkinkah situasi ini juga sudah berjangkit ke Tenang. Di situ ada Felda Chemplak Barat, Felda Chemplak dan Felda Tenang.

Kesemuanya orang Melayu. Persoalan sekarang mengapa peneroka Felda menjadi seperti makmun ketika solat di bekalang imam, kata ’amin’ apa sahaja.

Di Gua Musang, Kelantan - Dun Paloh merangkumi kawasan peneroka di bawah Felda dan Kesedar. Kawasan itu sejak diadakan pilihan raya tidak pernah dimenangi bukan BN kecuali pilihan raya umum 1990 dan 1995, ketika Semangat 46 bersama PAS.

”Usahkan hendak sokong parti lain, hendak buang bendera dacing kat dinding rumah pun takut. Bukan apa.. takut dibuang jadi peneroka,” kata Pak Mat dari Kesedar Paloh.

Itu sindrom diajar pemimpin Umno dan pegawai atasan di tanah rancangan. Kelainan hanya berlaku di Felda Kemahang, Tanah Merah apabila peneroka di situ ada jati diri.

Maka tidak hairanlah mereka menang saman terhadap Felda sehingga mendapat RM11 juta. Selepas lebih 10 tahun, akhirnya 354 peneroka Felda Kemahang 3 mendapat RM11 juta. Arahan dibuat Mahkamah Persekutuan Ogos tahun lepas terhadap Felda.

Kesnya kerana Felda menipu peneroka berhubung gred buah kelapa sawit. Kejayaan seperti itu hanya mampu dicatat apabila peneroka ada jati diri.

Peneroka di Felda Chemplak Barat, Felda Chemplak dan Felda Tenang juga boleh menikmati faedah serupa kalau mereka ada integriti.

Belajarlah dari rakan-rakan di Felda Kemahang. Percayalah, Felda tidak boleh singkir sesuka hati tanpa ada kesalahan jenayah atau salahlaku.

Perjanjian ditandatangani ketika mula-mula menyertai tanah rancangan tidak ada klausa berkaitan politik. Tiada ungkapan tidak sokong BN boleh disingkirkan.

Peneroka di Tenang perlu berani seperti Cikgu Normala Sudirman.

Beliau sanggup berhenti kerja dengan gaji agak besar kerana mahu menegakkan kebenaran. Cikgu Mala perempuan, bukan lelaki seperti peneroka di Dun Tenang.

Kalau peneroka lelaki tidak mampu menyatakan kebenaran, bermakna tidak gentle-lah kita.

Alahai ADO

Nampaknya ada dua isu yang perlu mereka perhalusi sebelum memangkah calon mana Ahad ini. Pertamanya integriti calon BN, Mohd Azahar Ibrahim dikait dengan isu lelongan tanah semasa menjadi ADO.

Akibat tidak mengikut prosedur, Mahkamah Tinggi Muar memerintahkan dikembalikan tanah itu kepada pemiliknya, Mansor Mohamad bersama kos pada 2008.

Mohd Azahar juga merupakan defendan pertama tuntutan saman Norhana Mohd Ali yang dikatakan ’terpedaya’ membeli tanah Mansor yang dilelong secara tidak sah.

Kesan perbuatan calon BN itu kerajaan menghadapi risiko menanggung kerugian sehingga RM1.5 juta kerana gantirugi dituntut Norhana.

Lebih mendebarkan lagi tarikh pendengaran kes tuntutan Norhana pada 7 Februari ini. Seandainya Azahar ’dimenang pilih’ pada Ahad ini, beliau mungkin kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat kalau didapati bersalah dalam kes Norhana.

Dakwaan Azahar kekalahan pihaknya dalam kes Mansor hanya kesilapan teknikal pada notis 16 D dan 16 G, Kanun Tanah Negara, tidak lebih sekadar alasan.

Pada perbicaraan di mahkamah mana sekali pun masalah teknikal menjadi kata pemutus.

Maka bagi mengelakkan pilihan raya kecil berulang, lebih baik pilih Cikgu Mala bagi menyelamatkan keadaan.

Keduanya, isu Datuk Seri Najib Razak tidak menjengok jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd Din ketika datang ke Tenang sebelum penamaan calon. Ia bukan perkara kecil.

Imam Masjid An Nur, Mohd Sharif Hassan juga dilaporkan mengakui hakikat itu. Malah imam itu memberi alasan kena pecah pintu rumahnya hendak salin baju untuk ke masjid bagi mengimamkan solat jenazah bukan alasannya.

Akibat mahu meraikan kedatangan perdana menteri berbanding mengurus jenazah anak mukim, menyebabkan wajah pemimpin Umno di situ menjadi herot.

Dua isu tersebut sudah mampu dibuat kayu ukur. Selepas ini apabila perdana menteri datang lagi ke Tenang, imam dan pemimpin Umno akan tinggalkan anak mukim.

Bagaimanapun kalau diambil kira pada pilihan raya umum lalu, sokongan kepada BN di kawasan Felda kira-kira 98.5 peratus. Di Chemplak Barat PAS mendapat sokongan 18.6 peratus, manakala 18.7 peratus di Chemplak.

Pengundi Melayu mewakili 90 peratus di Kampung Rendong, Pekan Ayer Panas dan Sawah Baru. Undi dipungut PAS di situ kurang 32 peratus.

Sebaliknya di Ladang Bukit Dato’ dan Ladang Labis Utara, kekuatan BN dan PAS agak seimbang di kalangan pengundi India.

Namun dengan perkembangan yang berlaku sehari dua ini, lanskap seperti pilihan raya kecil di Kuala Terengganu pada Januari 2009 boleh berulang di Tenang.

Pada pilihan raya itu, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

Sedangkan pada pilihan raya umum Mac 2008, calon BN, Datuk Razali Ismail mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu dan Maimun Yusuf (Bebas) dengan majoriti 628 undi.

Mungkin situasi Kuala Terengganu atau Galas berulang di Tenang. Prasyaratnya pengundi di Felda kena berani seperti ’superman’ buat keputusan.

12 ulasan:

  1. Tak payah jadi superman... cuma perlu jadi CERDIK sikit... jangan jadi melayu tipikal yg kurang menggunakan otak untuk berfikir... jadilah muslim yang progresif... dah 53 tahun kena kenching dengan umgok takkan tak sedar2 lagi... tanah dapat 10 ekar dah dibayar dengan susah-payah, pahit jerih dan keringat jantan malah kena kenching lagi dengan hasil buah yg dikurangkan gred, timbangan dan sebagainya... tak kan sampai mati nak tanggung budi... takkan nak tanggung budi sampai bersubahat dgn orang fasik yg jelas mendustai Agama Allah... sudah2 lah tu...

    BalasPadam
  2. Kita tunggu dan lihat keputusannya. PRK Tenang dah semakin hampir.

    BalasPadam
  3. nampaknya byk isu dimainkan oleh pembangkang dalam piliharaya ini.

    BalasPadam
  4. biarlah pengundi sendiri yang membuat keputusan. mereka pasti lebih tahu siapa yang layak untuk mewakili mereka.

    BalasPadam
  5. Biarlah rakyat yang tentukan siapa yang akan menang dalam pertandingan itu. Rakyat bijak untuk mengundi.

    BalasPadam
  6. Pilihan rakyat akan mempengaruhi pentadbiran di kawasan itu. Rakyat seharusnya tidak terpengaruh dengan mana2 pihak sebaliknya menilai parti setiap parti.

    BalasPadam
  7. Jadi cerdik pintar memang sudah cukup. Tidak perlu jadi superman..tidak ada guna juga kalau kurang pandai..

    BalasPadam
  8. Kita tunggu dan lihat sajalah apa yang bakal berlaku nanti.

    BalasPadam
  9. Saya yakin rakyat tahu membuat penilaian yang terbaik:)

    BalasPadam
  10. jika semua fitnah dan tuduhan pembangkang itu benar, Pakatan tidak akan berpeluang mentadbir 4 buah negeri. sedarlah kelemahan sendiri dan jangan jadi pembangkang mudah lupa.. lupa dengan kelemahan sendiri kerana terlalu banyak menabur fitnah dan terlalu mengidamkan jawatan kabinet.

    BalasPadam
  11. Harap calon yang terbaik akan menjadi pilihan rakyat.

    BalasPadam
  12. lihat saja bagaimana pembangkang memutar belitkan kes Azahar walaupun telah diberikan penjelasan. tidak cukup dengan itu mereka sanggup mempolitikkan isu jenazah kerana terlalu mengidamkan sokongan rakyat. sedarlah,, kalau benarpun pembangkang membantu jenazah, bantulah dengan ikhlas. bukan semata2 untuk politik.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.