Sabtu, 29 Januari 2011

Pakatan rayu sokongan besar Cina kejutkan BN di Tenang

LABIS — Kempen pilihan raya kecil DUN Tenang menghampiri penghujung dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi merayu masyarakat Cina memberikan undi padu kepada calon mereka Normala Sudirman.

Pengundian diadakan esok. Kempen akan berakhir secara rasmi tengah malam ini.

Bercakap pada majlis makan malam anjuran DAP, rakan komponen Pakatan Rakyat, Hadi berharap masyarakat Cina yang terdiri daripada 39 peratus pengundi di Tenang akan melakukan kejutan dengan mengubah kedudukan di mana kerusi itu secara tradisi dipegang oleh Barisan Nasional (BN).

“Pada 2008, kaum Cina telah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. PAS dan DAP menang di kawasan Cina, harap kemenangan selepas ini lebih besar.

“Saya yakin pengundi Cina akan melakukan kerja menumbangkan Barisan Nasional untuk anak tangga menuju Putrajaya,” kata Hadi lagi.

Turut berucap pada majlis itu ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng — yang melakukan kunjungan kedua untuk menarik sokongan kepada Normala, calon wanita mewakili parti itu.

Kerusi DUN Tenang menjadi rebutan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis dan Mohd Azahar Ibrahim mewakili BN.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, 17 Disember lepas.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi.

Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008 dan yang pertama sejak 1989.

Dalam ucapannya Hadi turut menegaskan Islam yang diperjuangkan PAS berbeza dengan Islam dibawa Umno-BN dalam sistem pentadbiran negara.

Beliau berkata Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP bergabung dengan hasrat untuk membelas nasib rakyat yang ditindas kerajaan BN selama ini.

“Pakatan rakyat adalah pakatan yang disertai PAS yang berhasrat sama dengan orang Islam dan bukan Islam dalam PKR dan DAP.

“Pakatan yang diajar oleh Islam dinamakan tahaluf. Dalam satu negara, kita berpakat menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman.

“Kita berpakat dalam perkara asas yang sama. Umno Islam duduk dalam BN, barisan ini berbaris bukan berpakat... Umno tidak konsisten dan tak tunjuk perangai baik depan orang bukan Islam.. Ini tidak selesai masalah,” katanya.

Hadi menjelaskan Islam agama yang menganjurkan politik dan ia perlu dijelaskan kepada seluruh rakyat termasuk orang bukan Islam.

“Kita perlu mengajar pengundi memahami dengan betul perbezaan antara PAS dan Umno dan perbezaan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

“Orang melihat secara zahir Umno Islam dan Pas Islam... PAS tegakkan Islam sepertimana dalam al-Quran dan Umno anggap Islam hanyalah agama rasmi dalam Perlembagaan (Persekutuan) yang digubal British. Islam adalah sekular, Ini beza PAS dan Umno.

“Dalam politik yang dianjurkan Islam adalah berbeza dengan (Islam) yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional, tiada masalah kita berbilang bangsa tinggal di tanah air, kita menolak politik perkauman,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pakatan Rakyat akan sentiasa menegakkan keadilan tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Selamanya kita berpakat di atas persetujuan mengekalkan keadilan dan menolak yang zalim, adil untuk semua, tolong rakyat tanpa mengira kaum.

“Boleh tanya orang Kelantan, orang bukan Islam macam mereka diberi hak yang sama. Di Terengganu juga begitu, kita selesaikan tanah di Kampung Baru," kata bekas menteri besar Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.