Sabtu, 1 Januari 2011

MUNGKINKAH NAJIB MENGHARGAI PENULIS?

SABAH KINI

Selamat Tahun Baru 2011,

WALAUPUN tanpa sumbangan rakyat Sabah, saya mungkin meneruskan www.sabahkini.net mengikut kemampuan saya kerana perjuangan menegakkan kebenaran bukannya mudah dan bukan sedikit pengorbanan yang bakal dibuat.

Soalnya kenapa saya perlu berkorban jika rakyat Sabah sendiri enggan mengangkat ‘senjata pena’ memerangi kekejaman ‘Kerajaan BN’ (termasuk instrument yang rasuah dan menyusahkan rakyat) dan dalam masa yang sama terlalu ‘bakhil’ untuk menghulurkan derma bagi meneruskan perjuangan murni ini?

Saya tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada ‘perjuangan tolol’ ini, sebaliknya mendapat banyak musuh yang mengintai peluang untuk melenyapkan saya daripada muka bumi ini; tanpa sebarang sokongan moral daripada rakyat Sabah yang melihat perjuangan saya sebagai ‘sia-sia’.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin lupa pesanan almarhum Tun Abdul Razak yang berkata;

“Saya berpendapat penulis yang berbakat sepatutnya mendapat kesempatan untuk menulis dengan ‘serius’ terus menerus dan dapat hidup lumayan dengan pekerjaannya itu.”

Kata Tun Razak lagi, “Dia tidak harus terpaksa melibatkan diri dalam pekerjaan-pekerjaan lain yang akan mengganggu kesempatannya untuk terus berfikir, meneliti, belajar, mencari pengalaman menulis. Keadaan seperti ini belum pernah wujud di Negara kita dan dengan kerana itu sudah banyak penulis kita yang berbakat di masa lalu hilang begitu sahaja.”

Mungkinkah impian Tun Razak dapat dilestarikan anaknya yang masih teraba-raba mencari halatuju 1Malaysia yang belum memartabatkan penulis sebagai ‘Pejuang’ dan ‘Senjata’ paling ampuh untuk menentang segala bentuk ancaman Negara luar yang menggunakan taktik Saiwar; yang tidak terjangkau oleh pemikiran ahli politik yang dihijab dengan projek, perebutan kuasa dan skandal.

Alangkah indahnya jika ada Universiti khusus yang mengajar tentang penulisan dan menjadikan penulisan sebagai kerjaya kehidupan dengan menubuhkan Menteri Buku dan Ilmu? Mungkinkah?

Bukankah Kerajaan BN menganggap penulis seperti ‘Pelacur’ yang hanya dibayar upah untuk mendapatkan perkhidmatan; tanpa mempedulikan kebajikan penulis yang majoritinya miskin, namun mampu menumbangkan BN di lima negeri pada pilihanraya lalu dan mungkin lebih banyak negeri akan jatuh ke tangan pembangkang jika BN tidak pernah menghargai penulis?

Walaupun sudah banyak pihak datang meminang untuk membeli ‘Sabahkini.net’ namun saya masih sayangkan Sabah dan belum berniat untuk menjual Sabahkini kepada sesiapa kerana jika tidak lagi mampu, saya akan tutup sahaja dan biarlah mereka yang berminat untuk menggunakan nama Sabahkini.net setelah berkubur tanpa nisan. Doakan semoga itu tidak berlaku kerana selepas ini mungkin Sabahkini.net tidak sebebas sekarang!

Salam Perjuangan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.