Suruhanjaya diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock akan mengadakan mesyuarat pertama esok di kompleks mahkamah Kuala Lumpur.
Manakala mesyuarat keduanya akan diadakan pada 9 Februari sebelum suruhanjaya itu memulakan siasatannya pada 14 Februari.
Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha suruhanjaya tersebut menyatakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memperkenankan penubuhan suruhanjaya itu pada 26 Januari.
Suruhanjaya tersebut akan menyiasat kematian Teoh serta keadaan yang membawa kepada kematiannya.
"Mesyuarat kedua pula dijadualkan pada 9 Februari 2001 manakala siasatan dijadualkan pada 14 Feb 2011," kata Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Datuk Saripuddin Kasim.
Suruhanjaya ini mempunyai tiga bulan dari 26 Januari, untuk menyiapkan siasatan mereka.
Ia diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong. Anggota lain termasuk bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T Selventhiranathan; pakar perunding patologi forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan pakar perunding psikiatri forensik yang juga dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Selain itu, Datuk Saripuddin Kasim, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, dilantik sebagai setiausaha suruhanjaya ini.
Amarjeet Singh a/l Serjit Singh (Timbalan Ketua Bahagian Guaman I), Awang Armadajaya Awang Mahmud (Timbalan Pendakwa Raya) dan Kwan Li Sa (Timbalan Pendakwa Raya), dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.
Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Suruhanjaya itu antara lain akan menyiasat sama ada terdapat sebarang ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya selain mengesyorkan sebarang tindakan yang sesuai, jika perlu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.