KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian pembantu khas seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock, akan mengadakan mesyuarat pertamanya esok.
Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Datuk Saripuddin Kasim berkata mesyuarat itu akan diadakan pada pukul 11.30 pagi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.
“Mesyuarat kedua pula dijadualkan pada 9 Februari 2001 manakala siasatan dijadualkan pada 14 Feb 2011,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu, yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Chen Yuen, bagi menyiasat kematian Teoh.
Teoh ditemui mati selepas beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lepas.
Teoh, 30, setiausaha politik anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Suruhanjaya itu antara lain akan menyiasat sama ada terdapat sebarang ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya selain mengesyorkan sebarang tindakan yang sesuai, jika perlu.
Suruhanjaya itu dianggotai dua bekas hakim dan dua pakar forensik, dibantu oleh empat pegawai undang-undang.
Mereka ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan manakala pakar forensik terdiri daripada Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.