GEORGE TOWN: Gerakan Pulau Pinang pada Sabtu meminta Kerajaan negeri berunding dengan pihak yang terbabit dalam industri plastik bagi mengadakan perancangan lebih baik sebelum menghentikan penggunaan plastik di negeri ini.
Ketua Biro Alam Sekitar parti itu, Tan Chai Liang berkata pengharaman plastik telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pengeluar dan pihak industri yang membantah langkah itu.
"Sebarang perubahan dalam rancangan perniagaan perlu dilaksanakan beransur-ansur dari tiga hingga lima tahun. Pengeluar plastik dan industri ini telah menjadi sebahagian daripada ekonomi negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tan berkata Gerakan Pulau Pinang tidak membantah usaha pemuliharaan alam sekitar bagi mengurangkan penggunaan plastik di negeri ini.
"Mekanisme polisi ini juga tidak menentu. Telah diketahui pengunaan plastik di pasar-pasar dan gerai penjaja adalah lebih banyak, mengapakah kerajaan hanya melaksanakan pengharaman plastik di pusat membeli-belah dan kedai-kedai runcit?" soalnya.
Mulai Sabtu, orang ramai perlu membawa beg mereka sendiri ketika membeli-belah di Pulau Pinang berikutan pelaksanaan kempen "Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma" di negeri ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata pelaksanaan itu melibatkan semua pasar raya besar, pasar raya, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar dan kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak).
Bagaimanapun, kata Lim penjaja dan peniaga di pasar dikecualikan daripada peraturan baru itu.
Berikutan langkah itu, orang ramai yang masih mahu menggunakan beg plastik boleh memperolehnya dengan bayaran 20 sen sekeping.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.