Sabtu, 29 Januari 2011

DUN Merlimau: Penamaan calon 26 Feb, hari undi 6 Mac

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Merlimau, Melaka, akan diadakan awal Mac, demikian diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.

Penamaan calon akan berlangsung pada 26 Februari manakala jika ada pertandingan pengundian diadakan 6 Mac.

SPR mengadakan mesyuarat khas di Batu Pahat, Johor, malam ini untuk menetapkan tarikh-tarikh berkaitan hari penamaan calon dan pengundian.

Pilihan raya kecil ini diadakan bagi mengisi kekosongan ekoran kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54, pada 20 Januari lepas.

Ia pilihan raya kecil ke-15 sejak Mac 2008.

Pada 1999, BN yang diwakili Umno menang dengan majoriti 2,252 undi, 2004 (5,087 undi) dan 2008 dengan majoriti 2,154 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir, yang juga Exco Kerajaan Negeri, menewaskan calon PAS Jasme Tompang.

Bagi menjalankan pilihan raya kecil DUN Merlimau, SPR akan menggunakan Dewan Platinum Politeknik Merlimau sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi.

Sebanyak tujuh buah sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemua 21 saluran tempat mengundi.

“Seramai 248 petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya kecil ini dan dianggarkan memerlukan belanjawan sebanyak RM830,000,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

DUN Merlimau mempunyai seramai 10,679 pengundi termasuk 36 pengundi pos.

“Daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini ialah Daftar Pemilik Induk 2009 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010 yang telah dikemaskini sehingga 20 Januari 2010.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pemilih biasa dan 36 pemilih pos,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di Labis malam ini.

SPR telah melantik Pegawai Daerah Jasin Roslan Eusoff sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus iaitu Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Jasin Noraini Tawel, Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Jasin Muhammad Ikram Ibrahim dan Penolong Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan) Jasin Radziah Ismail.

Semakan daftar pemilih boleh dibuat melalui laman web SPR iaitu www.spr.gov.my dan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPRNo Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Pengundi juga boleh menghubungi ibu pejabat SPR di Putrajaya melalui talian 03-8885 6500 dan Pejabat Pilihan Raya Melaka di talian 06-2824124.

Merlimau salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri dalam bahagian Parlimen Jasin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.