LABIS: PAS mendesak calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim supaya menarik diri kerana berbohong mengenai isu melelong tanah seorang lelaki sewaktu menjadi Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat.
Pengarah PRK Dun Tenang, Salahuddin Ayub menegaskan bahawa isu tersebut masih belum selesai walaupun Azahar menafikannya.
“Di sini kami sekali lagi ingin menegaskan kepada pihak media bahawa kenyataan calon Umno yang isu tersebut telah selesai menunjukkan sekali lagi calon Umno tidak bercakap benar kepada para pengundi dan partinya sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian pada sidang media di Pusat Media PAS PRK Tenang, di sini, sebentar tadi.
Pemimpin PAS yang turut hadir pada sidang media itu ialah Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, Bendahari, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Anuar Tahir, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad di samping Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS menambah, isu tersebut bukannya serangan peribadi terhadap Azahar sebaliknya rakyat perlu menilai untuk memilih wakil rakyat yang berintegriti.
Katanya, integriti perlu menjadi perkara serius yang mesti dipertanggungjawabkan kepada mana-mana individu untuk menjadi calon dalam pilihan raya.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Sepertimana yang pihak media ketahui semalam kami telah membangkitkan tentang isu integriti dan kompetensi calon Umno untuk menjadi wakil rakyat bagi DUN Tenang dalam keadaan beliau tidak telus dan mempunyai rekod buruk menyalahguna kuasa beliau sebagai mantan Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat untuk melelong tanah Encik Mansor Bin Mohamad dengan secara tidak sah pada 1/12/2003 dengan harga RM 70,000.
Kami ingin menambah bahawa hartanah Encik Mansor Bin Mohamad yang dilelong secara tidak sah oleh calon Umno di atas kapasitinya sebagai Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat adalah berukuran lebih kurang 8 ekar maka kami percaya rakyat dapat menilai kemunasabahan hartanah seluas 8 ekar tersebut hanya dijual pada harga RM70,000 sahaja.
Dalam reaksinya kepada kenyataan akhbar kami semalam, calon Umno antara lain menyatakan isu yang kami bangkitkan tersebut sudah selesai (lihat Malaysiakini 25 Januari 2011)
Di sini kami sekali lagi ingin menegaskan kepada pihak media bahawa kenyataan calon Umno yang isu tersebut telah selesai menunjukkan sekali lagi calon Umno tidak bercakap benar kepada para pengundi dan partinya sendiri.
Bagi menyangkal kenyataan calon Umno bahawa isu yang kami bangkitkan semalam telah selesai kami terangkan maklumat-maklumat berikut dengan para pengundi di DUN Tenang seperti berikut.
Bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan disebabkan kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa beliau mengendalikan isu pelelongan hartanah Encik Mansor bin Mohamad tersebut telah mengakibatkan Puan Norhana binti Mohd Ali iaitu pembeli yang membeli hartanah yang dilelong secara tidak sah menyaman (i) calon Umno, (ii) Pentadbir Tanah Daerah Segamat, (iii) Pejabat Tanah Daerah Segamat dan (iv) Kerajaan Johor sebagai Defendan-Defendan bagi menuntut gantirugi berjumlah lebih kurang 1.5 juta.
Bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan dalam tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas keempat-empat Defendan tersebut, calon Umno telah dijadikan sebagai Defendan Pertama dan kes tersebut telah pun didaftarkan di Mahkamah Tinggi Muar iaitu Guaman Sivil No: 23-14-2009.
Bagaimanakah calon Umno menyatakan kes tersebut telah selesai sedangkan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas calon Umno dan 3 yang lain pada 7hb Februari 2011 ( 7/2/2011 ).
Bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan calon Umno sendiri diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dalam kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas calon Umno tersebut.
Fakta-fakta di atas menujukkan sekali lagi bahawa calon Umno tidak bersikap telus bukan sahaja kepada rakyat di DUN Tenang sebaliknya kepada partai Umno dan BN itu sendiri.
Hakikatnya fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja kes kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa calon Umno sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat belum selesai, sebaliknya kes penyalahgunaan kuasa ini masih berterusan di Mahkamah.
Mengapakah calon Umno dalam keadaan berhadapan dengan fakta-fakta yang kami nyatakan di atas masih enggan bersikap telus dan terus terang kepada para pengundi di DUN Tenang dengan mengakui bahawa isu kecuaian dan kelalaian beliau dalam melelong hartanah rakyat yang lemah masih belum selesai di Mahkamah dan belum selesai?
Berdepan dengan fakta-fakta yang kami sajikan di atas kami percaya satu-satunya jalan keluar bagi calon Umno untuk membersihkan namanya, jika beliau masih ada saki baki integriti dan harga diri, adalah dengan menarik diri sebagai calon Umno dalam pilihan raya kecil Dun Tenang. Bagaimanakah calon yang terpalit dengan isu penyalahgunaan kuasa sebagai penjawat awam dan kini berdepan dengan isu tuntutan RM1.5 juta dari Puan Norhana binti Mohd Ali masih mempunyai kredibiliti untuk mewakili rakyat di DUN Tenang?
Bagaimanakah calon Umno masih kekal dalam penafian untuk terus menjadi calon Umno dan mewakili rakyat di DUN Tenang sedangkan kerana angkara dan tindakan beliau, beliau telah mendedahkan Kerajaan Negeri Johor kepada satu risiko yang tinggi iaitu terdapat kemungkinan besar Kerajaan Negeri Johor akan diperintahkan oleh Mahkamah untuk membayar gantirigi berjumlah RM1.5 juta. Jika itu yang berlaku bukankah wang rakyat Negeri Johor terpaksa digunakan sekali lagi untuk membayar gantirugi gantirugi RM1.5 juta tersebut?-/ harakahdaily
YB Salahuddin Ayub,
Pengarah PRK N05 Tenang
merangkap Naib Presiden PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.