Selasa, 28 Disember 2010

UMNO Labis kemuka senarai calon tanding DUN Tenang

BERITA HARIAN ONLINE

LABIS: UMNO Labis sudah mengemukakan cadangan beberapa nama calon untuk dipilih bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada pilihan raya kecil 30 Januari ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, mengesahkan beliau sudah menerima senarai calon itu, tetapi enggan menyatakan nama itu.

"Saya meminta UMNO Bahagian Labis memberikan cadangan nama-nama kepada UMNO Johor dan UMNO Labis sudah membuat cadangan beberapa nama di kalangan pimpinan bahagian," katanya selepas melawat keluarga isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha, Datin Seri Noraini Yaakop, di sini semalam.

Terdahulu Abdul Ghani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Tenang itu mengadakan perjumpaan dengan ahli jawatankuasa UMNO dan parti komponen BN yang lain.

Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian Sulaiman, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis pada 17 Disember lalu.

Abdul Ghani berkata, beliau akan mengemukakan senarai cadangan nama calon DUN Tenang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN untuk dipertimbangkan.

"Nama calon itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri beberapa hari sebelum tarikh penamaan calon. Saya yakin setiap ahli UMNO di Labis akan memberi sokongan kepada calon yang dikemukakan," katanya.

Abdul Ghani berkata, pihaknya juga akan menggerakkan semua 26 bahagian BN di negeri ini termasuk 50 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 25 Ahli Parlimen untuk membantu jentera pilihan raya kecil.

Beliau yakin BN boleh mempertahankan kerusi DUN Tenang dan pada masa yang sama berusaha meningkatkan jumlah majoriti undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.