Ahad, 26 Disember 2010

Tragedi Krismas : Enam maut dalam empat kemalangan

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Enam terkorban dalam kemalangan jalan raya di empat lokasi sekitar bandar raya awal pagi ini yang membabitkan kereta dan motosikal.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata kesemua mangsa berumur 18 hingga 55 tahun itu mati di tempat kejadian.

“Kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi apabila dua buah motosikal bertembung dari arah bertentangan di Jalan Pudu menghala Cheras Lama menyebabkan kedua-dua penunggang, Fong Kam Wah, 55, dan Fong Kel Uin, 19, mati di tempat kejadian,” katanya.

Abdullah berkata kejadian kedua berlaku pada 2.10 pagi apabila sebuah kereta yang dipandu oleh Eng Tiong Kiong, 36, dari Paloh, Johor gagal dikawal di Lebuhraya Sistem Penyuaraian Trafik KL-Barat (Sprint) lalu merempuh persimpangan jalan berhampiran KL Sentral.

Beliau berkata kejadian ketiga berlaku kira-kira pukul 4 pagi di Jalan Tun Razak membabitkan seorang remaja, S.Vines Veran, 18, apabila motosikal yang ditunggangginya terbabas dan melanggar pembahagi jalan, sebelum merempuh belakang sebuah kereta.

“Viknes Veran didapati menunggang motosikal tanpa lesen” katanya.

Abdullah berkata dalam kejadian keempat pukul 4.30 pagi di Jalan Cheras pula melibatan tiga kenderaan.

Abdullah berkata pemandu kereta itu, Tan Kim Fat, 32, seorang mekanik dan berasal dari Semenyih, Selangor dikatakan gagal mengawal keretanya lalu melanggar sebuah papan tanda sebelum melanggar bahagian belakang sebuah jip kepunyaan seorang kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mencantas pokok di jalan itu.

“Kim Fat dan salah seorang penumpang di dalam kereta itu, Hoh Tian Yoon, 25, mati di tempat kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, katanya sebuah kereta yang tidak sempat mengelak merempuh belakang kereta dinaiki empat lelaki tersebut, namun pemandunya hanya mengalami kecederaan ringan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.