Selasa, 28 Disember 2010

Saman ekor: Gelombang kedua 13 Feb depan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) bercadang mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan isu saman ekor dan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 2010 yang akan membebankan rakyat.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar memberitahu, pihaknya akan menghantar surat kepada Hishammuddin untuk mengadakan pertemuan pada 17 Januari tahun hadapan.

"Kase harap beliau bersedia untuk bertemu kerana ada beberapa perbincangan yang perlu dibuat secara bersemuka dengan beliau.

"Sebelum ini mungkin beliau tak berkesempatan untuk dengar pandangan dan pendirian kita di Parlimen," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut Naib Presiden PAS itu juga, mesyuarat Kase malam tadi memutuskan akan melancarkan gelombang kedua Kase pada 13 Februari tahun hadapan di Lembah Klang dan akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara selepas itu.

"Gelombang Kedua kase akan dilancarkan secara besar-besaran pada 13 Februari depan di sekitar Lembah Klang dan kita akan menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada rakyat," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pelancaran kedua itu termsuk memberi penerangan kepada rakyat berkaitan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (pindaan) 2010 yang memperkenalkan sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang melibatkan penggunaan kamera bagi mengambil gambar kenderaan melakukan kesalahan jalan raya.

Sistem ini didakwa memberi keuntungan kepada syarikat tertentu sahaja dan menambahkan beban rakyat.

Pelancaran kali pertama Kase adalah pada Ogos lepas di Plaza Tol Sungai Besi.

Sementara itu, sempena sambutan Tahun Baru awal Februari tahun hadapan, Kase akan mengedarkan risalah penerangan mengenai saman ekor, senarai hitam kenderaan dan akta yang diluluskan parlimen itu.

"Sempena Tahun Baru Cina pula akan edar handbill untuk jelaskan saman ekor, senarai hitam dan juga pindaan yang dibuat baru-baru ini kepda rakyat pada 31 Januari dan 1 Februari depan," katanya lagi.

Menyentuh mengenai memorandum bantahan terhadap akta itu yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong minggu lepas, beliau berkata ianya belum ada apa-apa perkembangan setakat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.