Isnin, 27 Disember 2010

PTPTN: Pemuda PAS rancang perhimpunan peminjam Februari depan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Dewan Pemuda PAS merancang untuk mengadakan perhimpunan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mendapatkan input mencari jalan penyelesaian berhubung masalah pembayaran balik pinjaman agensi itu.

Perhimpunan itu dijadual untuk diadakan di ibu negara awal Februari.

“Kita mendengar pelbagai alasan yang dikatakan oleh PTPTN tentang isu ini, jadi kami Dewan Pemuda PAS mahu mendengar sendiri punca masalah dan cadangan daripada mereka yang mendapat pinjaman PTPTN,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, berdasarkan apa yang didengar setakat ini, peminjam-peminjam yang gagal menyelesaikan pinjaman bukan enggan membayar, tetapi mereka berhadapan dengan pelbagai masalah.

“Ada yang sukar mendapat pekerjaan, kos hidup yang agak tinggi dan banyak lagi. Jadi, kami ingin mendapatkan senarai masalah dan cara-cara bagi membantu mereka,” kata beliau.

Menurut laporan semalam, PTPTN telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM37 bilion kepada pelajar sejak ia ditubuhkan pada 1997 sehingga bulan lepas.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata, seramai 1.7 juta pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke intitusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta telah menerima manfaat daripada pinjaman berkenaan.

Bagaimanapun, daripada keseluruhan pelajar yang mendapat pinjaman itu hanya 77 peratus pelajar yang membayar balik pinjaman selepas mereka menghabiskan pengajian.

Seramai 191,262 peminjam pula tidak pernah membayar balik pinjaman walaupun telah diberikan beberapa kali peringatan termasuk notis saman.

“Pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan dalam mengutip kembali pinjaman dan kita harap cadangan pindaan Akta PTPTN 1997 untuk mewajibkan bayaran balik pinjaman secara potongan gaji dapat dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.

Bagi tahun ini, PTPTN mensasarkan menerima bayaran balik berjumlah RM5 bilion, namun setakat bulan lepas, pihaknya hanya menerima RM4.8 bilion.

Sehubungan itu, Suhaizan berkata, pihaknya bercadang mengadakan perhimpunan pada bulan Februari sebelum Parlimen menyambung persidangannya Mac depan.

“Kami berharap dapat mengumpulkan senarai masalah dan cadangan sebelum Akta PTPTN dipinda tahun depan, kemungkinan Mac depan,” kata beliau.

Laporan Berama hari ini memetik Ismail berkata, pelajar yang menerima wang pendahuluan pembiayaan PTPTN namun tidak berminat untuk menerima pinjaman tersebut boleh memulangkan kembali wang itu.

Beliau berkata, wang pendahuluan berjumlah RM1,500 dihantar melalui cek kepada pelajar-pelajar terpilih bertujuan membantu mereka yang pertama kali ditawarkan ke institusi pengajian tinggi dan kurang berkemampuan.

“Jika ada antara mereka yang tidak memerlukan pinjaman itu tetapi menerimawang pendahuluan berkenaan, mereka boleh pulangkan kembali cek tersebut, atau mengabaikan sahaja kerana cek tersebut hanya sah dalam tempoh sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan terdapat pelajar yang menerima wang pendahuluan berkenaan walaupun tidak pernah membuat permohonan bagi mendapatkan pembiayaan tersebut.

Bagaimanapun katanya, jika pelajar berkenaan memasukkan cek tersebut ke dalam akaun mereka, maka mereka dianggap menerima wang pendahuluan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.